PRU13 sebelum pembentangan Bajet 2013?

Pengumuman bahawa Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini tidak bermakna Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) - 'ibu kepada segala pilihan raya' tidak akan diadakan sebelum tarikh itu, kata Ketua Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, disebabkan proses sesi perundingan dan keperluan-keperluan perundangan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengumumkan tarikh pembentangan Bajet 2013 lebih awal.

"Ia tidak bermakna tidak akan ada PRU lebih awal (jika Perdana Menteri memutuskan demikian)," kata beliau menjawab pengikut-pengikut akaun Twitternya malam tadi.

Beberapa jam sebelum respons Khairy itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Bajet 2013 akan diumumkan 28 September ini. Tahun lalu, Bajet 2012 dibentangkan minggu pertama Oktober.

Lazimnya ucapan belanjawan akan dibentangkan di Parlimen pada September atau Oktober setiap tahun.

Najib, yang juga Pengerusi BN, membuat pengumuman itu ketika ramai meramalkan - spekulasi terbaru - bahawa PRU13 akan diadakan September, selepas sambutan Aidilfitri.

Sebelum ini ada spekulasi bahawa PRU13 akan diadakan awal Julai ini dengan kemungkinan Parlimen dibubarkan dalam tempoh dua minggu akan datang.




Kerajaan Pusat masih ada mandat sehingga akhir April 2013.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, secara peribadi beliau tidak melihat Bajet 2013 akan dibentangkan sebelum PRU13.

"(Saya lihat) 70-30, pilihan raya sebelum bajet (dibentangkan)," kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Sinar
Previous
Next Post »
Thanks for your comment