24 Jun, 2012

Asal-usul gelaran Latif 'Borgiba'

APABILA mendengar sahaja nama Latiff Borgiba tentunya ramai penonton drama-drama dan filem-filem Melayu tahun 1960-an sehingga 1980-an yang mengenalinya. Namanya dikenali ramai kerana dia sering melakonkan watak-watak jahat sama ada dalam drama ataupun filem.

Apatah lagi, keunikan nama Latiff Borgiba itu sendiri menyebabkan dia mudah diingati oleh para peminatnya. Nama itu juga seakan-akan sesuai dengan penampilan serta karakternya dalam lakonan. Kebanyakan lakonannya meninggalkan kesan mendalam di hati para penonton.

Malah penampilan dirinya yang berkulit gelap, bermisai tebal dengan mata yang terjegil sewaktu menghayati watak-watak jahat menyebabkan dia seperti serasi menggunakan nama Latiff Borgiba. Nama itu juga seolah-olah memberi tuah dalam kerjayanya sebagai pelakon.

Bagaimanapun menurut Latiff, Borgiba pada namanya itu bukanlah nama sebenarnya. Sebaliknya, pemilik nama sebenar Abdul Latiff T.K. Gomu Kakah ini menjelaskan ia hanyalah nama pentas yang telah diberikan oleh pelakon dan pengarah, Allahyarham S. Kadarisman.




“Sebenarnya nama Borgiba itu diberikan oleh S. Kadarisman pada penghujung tahun 1960-an sewaktu saya mula aktif berlakon. Borgiba itu adalah sempena nama keturunan Habib Borgiba iaitu seorang kulit hitam dari Afrika yang terkenal warak dan juga tokoh agama terkenal di sana.

“Kata S. Kadarisman, kebetulan kulit saya gelap maka dia suruh saya gunakan nama Latiff Borgiba sebagai nama komersial sempena nama Habib Borgiba itu. Sejak itu saya telah menggunakan nama Latiff Borgiba dalam bidang lakonan sehinggalah ke hari ini," katanya kepada S3 pada pertemuan pada suatu majlis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Latiff yang kini berusia 75 tahun masih aktif berlakon drama, telemovie dan filem. Raut wajahnya tetap serius seperti dulu. Ditambah pula dengan janggutnya yang putih dan panjang mencecah paras dada menyebabkan dia tampak garang dan masih sesuai untuk melakonkan watak-watak jahat sama seperti dulu.

Namun dia yang mula berlakon pada usia 18 tahun menerusi pentas teater dan bangsawan kini tidak membataskan watak-watak yang dilakonkannya sama ada watak-watak baik ataupun jahat. Sebaliknya, bapa kepada 16 orang anak, 47 cucu dan 15 cicit ini turut mahu versatil dalam bidang lakonan yang diceburinya itu.

Pada usianya kini, Latiff juga banyak melakonkan watak lelaki tua yang lebih alim dan matang biarpun tidak menafikan para penonton lebih menyukainya melakonkan watak-watak jahat seperti suatu ketika dulu. Disebabkan kecenderungannya itulah dia lebih dikenali ramai dalam dunia lakonan tempatan.

“Tidak dinafikan dengan melakonkan watak-watak jahat itulah saya popular dan dengan pendapatan sebagai pelakon juga membantu saya menyara keluarga saya. Memang saya dikenali ramai sampaikan ada orang yang menyampah dengan saya sehingga di luar set drama atau filem.

“Saya tidak kecil hati kerana itu menunjukkan watak-watak lakonan saya berjaya meninggalkan kesan di hati para penonton. Terbukti nama Latiff Borgiba itu berjaya meninggalkan nostalgia tersendiri buat para peminat drama-drama dan filem-filem Melayu sehinggalah kini.

“Lagi pun saya sedar saya ini kategori pelakon buruh atau dalam divisyen tiga kerana melakonkan watak-watak jahat. Lainlah kalau melakonkan watak-watak hero memang semua orang suka. Tetapi tidak boleh dinafikan watak-watak jahat juga penting untuk menghidupkan jalan cerita," ujarnya.

Kahwin muda

Latiff yang dilahirkan di Bangkok, Thailand dan kemudiannya berhijrah bersama keluarganya ke Kuala Lumpur pada tahun 1946 berkata, bidang lakonan merupakan kerjaya yang sebati dalam dirinya. Dia memulakan bidang lakonan di Kuala Lumpur setahun selepas mendirikan rumahtangga.

Menariknya, pelakon berdarah campuran Siam, Arab dan India ini bukan sahaja memulakan karier sebagai pelakon pada usia yang muda iaitu 18 tahun tetapi turut berkahwin sewaktu baru berusia 17 tahun di mana ketika itu isterinya, Rokiah Abdul Rahman pula berumur 12 tahun.

“Isteri pertama saya itu meninggal dunia tiga tahun lepas. Sekarang ini saya tinggal bersama isteri kedua saya iaitu Fatimah Leman yang berusia 65 tahun. Biasanya orang zaman dulu ramai yang kahwin muda. Kalau sekarang ini mana ada anak dara yang kahwin umur 12 tahun," ungkapnya.

Sewaktu diajukan soalan bagi menyingkap tentang rahsianya berjaya melakonkan watak-watak jahat sehingga menimbulkan rasa kebencian di hati para penonton, Latiff seperti terdiam sejenak. Dia seperti sukar untuk meluahkan resipi kejayaannya dalam menghayati watak sebegitu.

Pelakon filem seperti berjudul Dang Lenggang, Ribut Di Hujung Senja dan Anakku Suamiku ini menganggap ia bergantung kepada penghayatan kepada satu-satu watak yang dilakonkannya itu. Pada masa sama dia tidak menafikan raut wajah dan imej yang ditonjolkan turut membantunya.

“Mungkin mata, misai dan kostum yang saya gunakan untuk melakonkan sesuatu watak itu sebagai bonus yang juga membantu keberkesanan watak-watak jahat lakonan saya. Saya tidak ada formula tersendiri kerana semuanya datang dalam satu pakej dan kebetulan ia kena dengan saya.

“Saya pula jenis yang tidak memilih watak dan kalau ia sesuai saya akan lakonkan dengan betul-betul termasuklah bukan watak-watak jahat. Sampai sekarang saya masih terapkan semua itu dalam diri saya. Ini kerana, sebagai pelakon dalam kategori divisyen tiga saya kena sedar diri.

“Saya bersyukur kerana masih mendapat tawaran berlakon walaupun sebagai pelakon tambahan pada usia sebegini. Saya bersyukur walaupun mendapat bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000 untuk berlakon dalam satu atau dua adegan kecil sahaja kerana ia tidak susah bagi saya.

“Dulu sebelum menjadi pelakon saya bekerja sebagai tukang buat rumah dengan pendapatan yang bukan sahaja kecil dan tidak menentu tetapi kerjanya juga agak berat," katanya lagi yang baru tamat menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Tekukur Tak Berbunyi Lagi sebanyak 13 episod.

2 comments

Assalamualaikum.....

Memang dia ada berlakon watak jahat tetapi saya lebih mengingatinya pada watak-watak baik. Paling suka semasa dia berlakon drama silat iaitu "Semutar Hitam". Dan ada lagi seorang pelakon yang hebat seumpama Latif Bergiba iaitu Tamam Idris. Kedua-dua pelakon ini berjaya menjiwai lakonan watak yang diberikan... Tamam Idris juga agak terkenal dengan lakonan yang memerlukan dia bersilat...

Kini pelakon Eman Manan juga boleh dimasukan dalam senarai pelakon vateran yang hebat seperti Latif Borgiba dan Tamam Idris. Eman Manan juga hebat melakonkan watak bersilat...

saya minat sangat latiff borgiba. saya sutuju dengan ahmad zaki. saya lebih terkesan dengan watak baik beliau. semoga latiff borgiba sentiasa diberkati oleh-Nya. amin.


EmoticonEmoticon