jobs from my.neuvoo.com

30 Oktober, 2012

'Saya tak pakai tudung itu kebebasan yang saya kecapi sekarang'

KUALA LUMPUR – Ahli kumpulan Butterfly, Nur Syuhadah Baharuddin, 24, atau mesra dikenali dengan Adda meminta orang ramai agar tidak mempersoalkan penampilan terbarunya yang tidak lagi memakai tudung.

Adda sebelum ini terpalit dengan pelbagai kisah kontroversi memulakan langkah memakai tudung selepas hubungan cinta terputus dengan Mamat Sepah.

Selepas itu, dia menjalin cinta dan berkahwin dengan seorang lelaki yang juga suami orang tetapi masih lagi lengkap mengenakan tudung.

Namun, selepas berkahwin selama 17 hari dan kemudiannya bercerai, Adda berubah sedikit demi sedikit dengan bermula memakai turban dan seterusnya tidak langsung menutup kepalanya.

Dengan penampilan baru ketika menyambut hari kelahirannya yang ke-24 baru-baru ini, Adda yakin semua pihak akan tertanya-tanya tindakannya yang berani untuk membuka kembali tudungnya.

Pun begitu, Adda menjelaskan dia kini tidak lagi mempunyai tanggungjawab dan bebas untuk membuat apa sahaja dalam hidupnya.

“Adda tak boleh tipu diri sendiri. Kalau dahulu Adda ada tanggungjawab dan komitmen tapi sekarang tidak lagi. Adda dah bebas. Jadi apa juga yang Adda buat hari ini adalah untuk masa depan Adda.

“Sebab itu juga Adda minta jangan besarkan isu Adda tak pakai tudung. Adda cuma manusia biasa yang tak lepas daripada membuat kesilapan. Ini adalah diri Adda yang sebenar. Asalkan Adda tahu batas dan tak malukan nama keluarga, Adda harap semua orang terima Adda yang baru,” kata Adda yang dipetik dari Utusan Online.

Walaupun kehidupan Adda boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga, janda muda itu enggan lagi menoleh ke belakang dan menganggap kesilapan yang dilakukannya dahulu adalah sebagai pengajaran hidup.

Justeru, Adda berazam untuk membina hidup baru dan melupakan segala kisah pahit yang pernah mencalarkan hatinya.

Malah, dia kini mahu lebih yakin untuk memikirkan masa depannya.

“Semua kesilapan lampau adalah panduan hidup Adda. Rasanya semua orang pernah jatuh atau tergelincir. Tapi adakah kita akan sentiasa tunduk dengan situasi macam itu? Sebab hanya orang gila saja yang membenarkan nasibnya ditimpa malang berulang kali.

“Adda nak bina hidup baru. Nak lupakan kisah silam, cerita hitam yang pernah berlaku sebelum ini. Yang lepas itu biarlah. Adda tak nak sentuh lagi. Bagi Adda, apa yang penting adalah masa depan Adda sekarang. Adda doa untuk lebih fokus dalam bidang seni. Adda nak buka mata semua orang,” katanya.


EmoticonEmoticon