jobs from my.neuvoo.com

30 November, 2012

Saya pernah dirisik sertai politik - Musa Hasan

SHAH ALAM - Tan Sri Musa Hassan mendedahkan beliau pernah ditawarkan menyertai parti politik selepas bersara daripada jawatan Ketua Polis Negara dua tahun lalu.

Tanpa menyebut apakah Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat yang membuat tawaran tersebut, beliau berkata, politik bukan jiwanya.

Katanya, beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik, tetapi akan terus lantang untuk menyumbang memperbaiki sistem pentadbiran negara.

"Saya hanya menegur apa yang tidak kena dengan tindakan kerajaan, termasuklah masalah yang dihadapi polis.

"Apa yang saya tegur ini betul. Saya tegur pasal ada yang tidak betul pada sistem (sedia ada), ada campur tangan pihak tertentu dalam pentadbiran polis. Ini tidak betul," katanya dalam pertemuan eksklusif bersama Sinar Harian, semalam.

Musa menafikan spekulasi yang ditimbulkan akhir-akhir ini yang seolah-olah memperlihatkan beliau sebagai menongkah arus dan berminat menceburi politik.

Katanya, kelantangan bersuara akhir-akhir ini bukan bermakna beliau mahu menceburi bidang politik, tetapi untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Jika saya menyertai politik, saya akan terikat dengan kenyataan yang ditetapkan mana-mana parti.

"Jadi sukar bagi saya untuk bercakap mengenai keadaan sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia," katanya lagi.

Ditanya adakah kelantangannya di akhir-akhirnya menunjukkan beliau gila kuasa, beliau berkata: "Saya tak gila kuasa. Saya dah tak ada kuasa pun (sudah pencen)."

"Saya hanya bercakap benda yang berlaku dan perlu diperbetulkan," katanya.


EmoticonEmoticon