12/28/2012
0
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dentuman kuat di belakang blok A Kuarters Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, awal pagi semalam membawa kepada penemuan satu mayat wanita dalam keadaan bogel.

Difahamkan, pengawal keselamatan yang dimaklumkan mengenai penemuan itu terkejut sebaik mendapati mayat terbabit adalah seorang wanita yang diselamatkannya ketika cuba melarikan diri dari kuarters berkenaan 10 minit sebelum itu.

Wanita berusia 25 tahun itu yang juga kakitangan HKL dipercayai terjun dari rumahnya di tingkat 12 blok berkenaan sebelum ditemui terlentang di tempat letak kenderaan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa dikatakan berbogel dan cuba berlari keluar dari pekarangan kuarters.

“Pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu melihat mangsa dan menahannya. Kejadian itu turut disedari keluarga mangsa yang melihatnya keluar dari rumah mereka. “Pengawal keselamatan dan salah seorang ahli keluarga mangsa membawanya pulang ke rumah bagi menenangkan wanita terbabit yang meraung,” katanya.

Beliau berkata, 10 minit kemudian, seorang penghuni lain yang dikejutkan dengan dentuman memberitahu pengawal keselamatan sebelum pemeriksaan menemui wanita terbabit dalam keadaan terlentang.

Saksi berkata, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap bilik rumah keluarganya itu di tingkat 12.

Menurutnya, polis dipanggil membantu siasatan dan mayat dihantar ke HKL untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 5 pagi.

“Hasil siasatan mangsa dikatakan mengalami masalah sakit mental sejak dua minggu lalu. Kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan