4/28/2013
0
KLUANG 28 April - DAP hari ini mengulangi pendiriannya untuk tidak sesekali membenarkan hukum hudud dilaksanakan walaupun 'berhutang' dengan Pas yang membenarkan parti itu menggunakan lambang bulan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusinya, Karpal Singh dalam ceramah di sini dengan angkuh menegaskan walaupun mereka bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) namun ia tidak bermakna DAP menerima konsep negara Islam termasuk hukum hudud.

Selain itu, Karpal turut mengugut untuk menangkap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan menghadapkannya ke mahkamah kerana didakwanya mengeluarkan kata-kata hasutan dengan menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai perkauman.

Beliau turut mengugut untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang didakwanya sebagai tidak berkaliber dan menuduh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak mengikut undang-undang semasa menerima Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Pada 2008, kami menang lima negeri tetapi Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) bertindak tidak mengikut undang-undang. Saya ditangkap dan didakwa tetapi saya tidak takut, saya akan lawan dan boleh menang," katanya.

0 comments:

Catat Ulasan