Blackout: Shukor Idrus minta PR senaraikan lokasi yang terlibat

SHAH ALAM: ADUN Kuang, Shukor Idrus meminta pembangkang menyenaraikan semua lokasi pengiraan undi yang didakwa mengalami masalah bekalan elektrik, sehingga membawa kepada manipulasi kertas undi.

Beliau berkata dakwaan sebegitu tidak berasas dan menggesa perkara itu dibawa ke muka pengadilan bagi membuktikan tidak berlaku apa-apa 'salah laku' membabitkan Umno Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti yang didakwa.

"Saya rasa ini dakwaan yang tidak berasas sama sekali, jika benar dakwaan mereka, kita mahu persoalkan di kawasan mana yang blackout itu?

"Saya hendak tahu di mana tempat itu dan mereka boleh buat aduan kalau benar dan kalau tidak benar, saya rasa mereka berniat jahat sengaja membesar-besarkan isu ini tambahan mereka sudah bersiap sedia pula dengan lampu suluh itu," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa terdapat manipulasi kertas undi dilakukan bagi memastikan BN memenangi pilihan raya pada Ahad lalu.

Manipulasi itu dikatakan dilakukan dengan menggunakan taktik memutuskan bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi berlaku.

Bagaimanapun tinjauan di laman sosial Facebook mendapati beberapa petugas SPR menafikan hal itu.

Malah mereka menyatakan rasa hairan apabila ejen mengundi Pakatan Rakyat bersedia dengan lampu suluh sejak dari jam 5 petang.

Ia seolah-olah telah bersedia untuk kejadian bekalan elektrik terputus.

Farah Wulan yang bertugas pada pilihan raya lalu menafikan dakwaan tersebut sekali gus menyifatkan pembangkang terlalu 'paranoid'.

"Tempat mana yang blackout ni? Saya jadi petugas SPR dan kira undi depan ejen parti bertanding. Kalau tidak puas hati kira balikla.

"Yang tak tahan tu, siap ejen DAP bawa masuk lampu kecemasan tu, dia kata takut blackout. Paranaoid betul la," katanya melalui laman Facebooknya yang membidas tindakan penyokong pembangkang yang menyebarkan cerita kononnya berlaku gelap seketika pada hari kiraan undi itu.
Previous
Next Post »
Thanks for your comment