10 Julai, 2013

PRK Kuala Besut: Tengku Zaihan calon muda pilihan BN

KUALA BESUT 9 Julai - Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon muda anak tempatan, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan parti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada pilihan raya kecil kawasan itu, 24 Julai ini.

Pemilihan bekas Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) (Bahagian Korporat) itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah Pilihan Raya BN di Dataran Kuala Besut di sini hari ini serentak dengan majlis pelancaran jentera parti.

Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh penyokong parti serta pemimpin yang hadir iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan para pemimpin parti komponen.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yakin Tengku Zaihan yang berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) adalah taruhan terbaik BN untuk pengundi di DUN Kuala Besut berdasarkan pengalaman luas beliau dalam jabatan kerajaan dan boleh diterima rakyat khususnya golongan muda.

Menurutnya, walaupun terdapat ramai yang berkelayakan, pemilihan Tengku Zaihan dibuat oleh pucuk pimpinan selepas melalui proses pemilihan yang mengambil kira kehendak, situasi tempatan dan calon yang boleh mendapat kepercayaan meluas di kalangan masyarakat.

''Khidmat dan tanggungjawab yang menuntut kepada daya usaha dan pemikiran untuk terus membangunkan masyarakat di sini, kita merasakan perlu diletakkan calon yang lebih muda untuk lebih melihat ke depan," ujar Muhyiddin.

Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A Rahman Mokhtar (BN) yang berjaya mengekalkan kerusi itu buat penggal kedua dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 2,434 menewaskan calon Pas. Ini merupakan PRK kedua bagi DUN Kuala Besut sejak 34 tahun lalu.

Sementara itu, Tengku Zaihan ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon pilihan raya berkenaan yang disifatkannya sebagai 'pilihan raya kecil yang besar'.

"Saya sedia memikul amanah dan tanggungjawab berat ini sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada UMNO yang telah membuka laluan untuk saya membangunkan kehidupan keluarga, bangsa dan negara. Perjuangannya perlu diteruskan," ujarnya.

Bapa kepada empat orang anak itu mengakui ujian awal iaitu sebagai calon cukup mencabar dan sekiranya diberi kepercayaan, amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, perkara itu tidak akan disia-siakan.

Beliau berjanji akan membela nasib rakyat dan berkhidmat dengan penuh dedikasi jika dipilih sebagai wakil rakyat kerana lebih mengerti, memahami keperluan dan harapan penduduk berikutan pernah berkhidmat di daerah ini dan banyak berurusan dengan masyarakat.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana memberi sokongan kepada saya demi rakyat Kuala Besut. Saya mengambil kesempatan ini merayu pengundi memberi kepercayaan kepada saya dan berjanji untuk melakukan yang terbaik selagi terdaya," katanya yang merupakan ahli UMNO Cawangan Seri Seratus dan anak kepada veteran UMNO.

1 comments so far


EmoticonEmoticon