Najib umum 11 langkah penjimatan belanja kerajaan

Desperado | 12/30/2013 | 1 comments

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemotongan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus sebagai antara 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014.

Selain elaun keraian menteri dan timbalan menteri, elaun keraian bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) juga dipotong antara 5 hingga 10 peratus.

Menurut Najib, langkah-langkah itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan berhemah pada tahun depan.

"Langkah-langkah penjimatan yang lain untuk sektor awam akan diperkenalkan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini.

Jelas Perdana Menteri, keputusan itu dibuat setelah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Langkah-langkah lain yang diumumkan oleh Perdana Menteri ialah:
1. Pengurangan sebanyak 5 peratus kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan;
2. Kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan (Gred JUSA C ke atas) dikurangkan sebanyak RM50-100 atau 30 peratus; dan
3. Permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan dibekukan.

Najib juga mengumumkan langkah mengetatkan pelantikan juru perunding atau consultant untuk projek-projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan feasibility study.

Lantikan berkenaan hanya boleh dibuat dengan mengemukakan cadangan pelantikan kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan oleh KSN untuk kelulusan.

Najib juga mengumumkan pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara serta pemberian saguhati dan cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis kerajaan yang membabitkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

Satu lagi langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan yang diumumkan ialah meminda kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam misalnya, penerbangan sektor awam bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah ialah kelas ekonomi.

Najib juga mengumumkan pengurangan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

Tiga lagi langkah yang diumumkan ialah:
1. Mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebaang acara rasmi kerajaan;
2. Mengoptimakan penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis pejabat; dan
3. Mengaplikasikan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan mengoptimakan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan juga kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.

Category: , , ,

PERINGATAN:
Pilihan Anda tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

1 ulasan:

  1. Adakah ini langkah terbaik dari kerajaan? Ini telah menunjukkan tahap kebodohan penasihat-penasihat yang dibayar tinggi untuk menasihati PM. Langkah ini tidak menunjukkan keberhasilan negara dalam meningkatkan produktiviti dan pendapatan. Langkah ini adalah kegagalan Najib sebagai PM mengawal ekonomi negara dan menunjukkan perbelanjaan negara sangat besar sehinggakan terpaksa menyekat beberapa perbelanjaan. Tidakkah terdapat bijak pandai di keliling beliau boleh mengusulkan untuk meningkatkan pendapatan negara? Sehingga kini tiada petunjuk pendapatan negara akan meningkat. Tiada perniagaan baru untuk negara, tiada acara-acara yang boleh merangsang ekonomi negara dan lain-lain agenda peningkatan ekonomi rakyat. BR1M hanya menggalakkan sikap pemalas rakyat Malaysia. Sampai bila rakyat perlu digula-gulakan? Dari mana sumber kewangan kerajaan untuk menampung perbelanjaan pemberian BR1M? Berapa peratus keuntungan kerajaan dari program BR1M? BR1M hanyalah projek peningkatan imej politik dan tidak langsung merangsang ekonomi negara. Ke mana arah tuju Proton, Petronas, Sime Darby dan lain-lain GLC? Berapa ramai pendatang asing sama ada secara sah dan haram yang mengakibatkan pengeluaran wang negara keluar secara besar-besaran? Apa peranan kerajaan dalam mengawal pengeluaran wang ini? Tiada langsung inisiatif dari kerajaan! Di mana kerugian kerajaan? Kerugian kerajaan berpunca dari pegawai-pegawai kerajaan sendiri. Bayangkan pembelian kerajaan sangat merugikan kerana margin keuntungan pembekal boleh mencecah dari 300% ke melebihi 1,000%. Contohnya kipas angin berkaki nilai dipasaran paling tinggi adalah RM 130.00 sahaja, tetapi kerajaan membuat bayaran sehingga mencecah RM 700.00. Ke mana agihan keuntungan jualan boleh dipersoalkan kepada kakitangan-kakitangan kerajaan itu sendiri. Ini adalah contoh dan bayangkan berapa banyak pembelian yang dilakukan oleh kerajaan dalam masa setahun dan berapa billionkah kerugian yang ditanggung oleh kerajaan atas sistem pembelian yang sangat merepek ini?

    Sudah sampai masanya najib memecat penasihat-penasihat yang serba bodoh ini. Malaysia perlukan perubahan drastik bagi mengubah ekonomi negara. Jangan merasakan rakyat memilih BN kerana mereka rela. Rakyat terpaksa memilih kerana tiada pilihan. Berubahlah untuk rakyat.

    BalasPadam