10 Februari, 2014

'Kami hilang hormat kepada Dato Seri Anwar jika...' - PAS

Kamaruzzaman Abdullah
KUALA TERENGGANU – Pemuda Pas Terengganu tidak akan menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau membelakangkan rakan-rakan PR lain dalam membuat keputusan berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor yang baru selepas PRK Dun Kajang, 23 Mac ini.

Ketuanya, Kamaruzzaman Abdullah berkata, perkara itu sudah tentu memerlukan kepada satu perbincangan melalui Majlis Permuafakatan PR sekiranya benar-benar PKR mahu melakukan perubahan jawatan ketua tadbir di negeri itu.

Mengakui pihaknya berasa hati dengan tindakan PKR yang mengosongkan kerusi secara drastik tanpa sebarang makluman kepada pimpinan Pas, beliau berharap isu membelakangkan Pas tidak berlaku lagi selepas ini.

“Kita tidak mahu bercakap soal masa depan kerana ia adalah perkara ghaib, tetapi keputusan Anwar kita hormati asalkan tidak membelakangkan rakan sendiri dan berbincang melalui Majlis Permuafakatan PR.

“Kalau berlaku isu pelantikan menteri besar baru dengan membelakangkan Pas sebagaimana isu pengosongan kerusi Dun Kajang, kita serah pada kepimpinan Pusat sama ada bersama (meneruskan tahalluf siyasi bersama PKR) atau tidak,” katanya.

Pihaknya juga lebih mengambil sikap tunggu dan lihat perkara yang akan berlaku selepas PRK ini.

Dalam laporan Sinar Harian 7 Februari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan beliau mungkin akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika menang PRK Dun Kajang.

Anwar turut memberitahu bahawa perbincangan dengan rakan pakatan juga perlu untuk mendapatkan permuafakatan dan kerjasama.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman turut memberitahu bahawa buat masa ini soal Menteri Besar Selangor yang baru tidak timbul sama sekali, sebaliknya tumpuan PR sekarang adalah mengekalkan kerusi N25 Kajang.

Beliau menjelaskan, isu menteri besar adalah perkara lain yang tiada kena mengena dengan PRK.

“Isu menteri besar mesti melalui Majlis Permuafakatan PR. Insya ALLAH, mana-mana parti dalam PR sudah membuat persediaan untuk menghadapi PRK kali ini. Isu menteri besar tidak timbul,” katanya.


EmoticonEmoticon