jobs from my.neuvoo.com

15 Januari, 2015

Artis ditahan selepas persembahan

GEORGETOWN - Sekumpulan artis kelab dari Thailand tergamam apabila ditahan pegawai Jabatan Imigresen sejurus membuat persembahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Lebuh Pantai, di sini, malam, kelmarin.

Semua gara-gara tindakan mereka melakukan persembahan yang tidak mematuhi syarat-syarat agensi pusat permohonan pengembaraan filem dan persembahan artis luar negara (Puspal).

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Hasbullah Abd Rashid berkata, dalam operasi bersepadu itu, seramai 11 artis warga Thailand dan empat kru mereka ditahan bagi membantu siasatan.

"Kumpulan artis itu didapati, berpakaian tidak sopan selain terdapat unsur pemberian tip yang melanggar syarat ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pelanggan pusat hiburan berkenaan akan memberi kalungan bunga dan selempang kepada artis kegemaran mereka mengikut harga tertentu.

"Kalungan bunga dan selendang itu dicaj antara RM50 hingga RM300 dan akan dikalungkan sendiri oleh pelanggan kepada artis pilihan mereka.

"Mengikut syarat Puspal, artis wanita hendaklah menutup badan dari pangkal dada hingga bawah lutut dan yang membuat persembahan gelek harus berpakaian sopan,” katanya selepas operasi berkenaan.

Turut serta dalam operasi itu, Ketua Penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Hassan.

Terdahulu, dalam serbuan berasingan, tujuh wanita warga Vietnam ditahan dipercayai berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah lagi pusat hiburan di Jalan Anson.

Hasbullah berkata, kesemuanya didapati menyalahgunakan pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Jalan Ong Joo Sun di Jelutong, seramai 11 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen negeri di Seberang Jaya untuk siasatan.


EmoticonEmoticon