jobs from my.neuvoo.com

26 Januari, 2015

Dato Siti punca Zamani terjebak dadah?

Sepanjang minggu lalu, nama penyanyi Zamani menjadi bualan hangat selepas dia ditangkap akibat dadah. Malah, kisahnya semakin diperkatakan ramai selepas timbul isu video yang memuatkan rakaman dia dipaksa menyanyi sewaktu ditahan di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Namun, isu memuat naik rakaman video itu reda selepas Zamani menyatakan dia memaafkan pihak yang terlibat isu tersebut.

Di samping isu video Zamani, apa yang masih menimbulkan tanda tanya pada ramai peminat apabila pencipta dan penggubah lagu terkenal, Saari Amri, 49, memuat naik satu status di laman Twitter, pada minggu lalu.

Menerusi laman sosial itu, Saari menulis kenyataan merujuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tahu punca Zamani terlibat dengan gejala penangihan dadah.

Mengulas mengenai status itu, pencipta lagu Gerimis Mengundang ini memberitahu dia tidak berniat mencetuskan apa-apa isu sebaliknya sebagai antara sahabat yang rapat dengan Zamani, dia berasa simpati dengan nasib yang menimpa vokalis kumpulan Slam itu.

Katanya, dia pernah menasihatkan Zamani agar melupakan tentang kisah silamnya dengan Siti dan terus menjalani hidup dengan sempurna.

"Saya kenal Zamani sejak dari awal dia mula menyanyi. Dia pun banyak menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya dan kami memang rapat malah, saya sering juga banyak menghabiskan masa dengan dia.

"Pernah satu ketika saya bertanyakan pada dia mengapa dia jadi begitu dan saya nasihatkan dia supaya melupakan Siti dan menjalani hidup dengan lebih baik tetapi Zamani seorang yang sangat setia.

"Jadi, apabila berita penangkapannya tersebar, saya berasa kasihan dengannya dan atas sebab itu saya 'tweet' sekadar mahu meluahkan rasa simpati dan meluahkan apa yang betul.

"Sebenarnya ramai juga kenalan yang tahu tentang perkara itu tapi itu kisah lama. Tiada niat saya nak bangkitkan atau timbulkan apa-apa isu," katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Saari sebelum ini cukup dikenali menerusi lagu-lagu lain ciptaannya yang popular seperti Lena Diulit Intan nyanyian Wings, Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan), Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (UK's), Butakah Cinta (Spring), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Penantian (Black Rose), Sesat Dalam Rindu (Damasutra) dan Rambulan Kesiangan (Razzi Rahman).

Dedah Saari lagi, dia sebenarnya ada menulis sebuah lagu berjudul Lahirmu Untuk Dia dan lagu tersebut berkaitan dengan kisah hidup Zamani. Sepatutnya, lagu itu sudah hampir dirakamkan tetapi ekoran penangkapan penyanyi itu, Saari terpaksa memberikan lagu itu kepada penyanyi lain.

"Saya pernah bagi dia dengar lagu itu dan sepatutnya hampir dirakamkan. Lagu itu memang tentang kisah hidup dia tetapi apabila sudah jadi begini, saya berikan lagu itu kepada Aris Ariwatan untuk menyanyikannya dan lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru untuk projek khas yang sedang saya usahakan sekarang.

Bercerita lanjut tentang projek khas tersebut, Saari menyatakan dia sedang menyiapkan album untuk satu projek amal dalam misi membantu balu-balu anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sekitar tahun 2013.

Album berjudul Ibarat Lilin Saari Amri itu memuatkan sebanyak tujuh lagu baru dan 21 koleksi lagu hits ciptaannya. Antara penyanyi yang terlibat seperti Aris Ariwatan, Keena (Mentor) dan turut melibatkan tiga anggota polis untuk menyanyikan antara lagu baru dalam album tersebut.

"Saya sedang menyiapkan album projek khas. Mengikut perancangan, sebanyak 70% daripada hasil jualan album ini akan disumbangkan kepada tujuh balu anggota polis yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu.

"Album ini akan dilancarkan dalam masa terdekat ini. Sekarang ini tinggal hanya hanya proses kulit album sahaja.

"Selain Aris Ariwatan, penyanyi lain yang terlibat seperti Keena (Mentor3). Pelakon dan penyanyi Kaza juga turut terlibat, dia merakamkan semula lagu Madah Berhelah dengan susunan muzik yang baru. Selain itu tiga anggota polis juga ada menyanyikan lagu untuk album ini", katanya.

- mD

1 comments so far

Biar betul saari amri ni..macam kawan makan kawan sahaja..

Kalau simpati..kenapa perlu dedahkan cerita lama...itu mengaibkan zamani.
Tergila-gilakan atau berkeinginan untuk jadi pasangan siti nurhaliza bukan setakat zamani, ramai lagi..tetapi tidaklah boleh dijadikan alasan untuk makan dadah dan menyalah orang lain...dalam hal ini zamani sendiri tidak membuat pengakuan dan janganlah saari nak tumpang glamour untuk melariskan albumnya.

Kalau simpati dan kawan setia, sepatutnya lagu tersebut kekal kepada zamani sebagai satu cara membantunya kembali ke jalan yang betul.

Ini cara kawan, sangat bahaya, tak boleh pakai.


EmoticonEmoticon