jobs from my.neuvoo.com

06 Januari, 2015

Janda anak tiga lepas gian dengan kekasih dalam hotel

POLIS membawa ketiga-tiga suspek yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah untuk siasatan lanjut ke Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, semalam.
MIRI 4 Jan. – Seorang ibu sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada anak-anak namun seorang janda beranak tiga bersikap sebaliknya apabila dia menghambakan diri kepada dadah.

Perbuatan tidak bertanggungjawab wanita itu terbongkar selepas dia dicekup kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah bersama teman lelakinya dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan Bendahara di sini hari ini.

Serbuan melalui operasi dinamakan ‘Ops Hotel' itu dijalankan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang diketuai Inspektor Shahibul Najib Kamaruddin.

Sumber berkata, pihak polis bertindak menyerbu bilik hotel disewa oleh janda berusia 37 tahun itu bersama kekasihnya berusia 30 tahun selepas mendapat maklumat daripada orang awam yang mengadu premis terbabit dijadikan lokasi penagih melepaskan gian.

“Rahsia janda itu terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah terbongkar hasil maklumat orang awam yang mengesan hotel tersebut dijadikan tempat melepaskan gian kerana sering dikunjungi oleh individu mencurigakan, disyaki penagih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan ke atas pasangan kekasih itu, polis menemukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Ujarnya, dalam serbuan di sebuah bilik berasingan di hotel sama, polis turut menahan seorang wanita berusia 24 tahun kerana didapati memiliki dadah jenis syabu.

Hasil siasatan lanjut, katanya, polis turut menemukan satu keratan tiub straw berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.10 gram daripada wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif mengambil dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/janda-dicekup-bersama-kekasih-ketika-lepas-gian-di-bilik-hotel-1.44576#sthash.4ngjLLBB.dpuf


EmoticonEmoticon