jobs from my.neuvoo.com

12 Januari, 2015

Kerana bayaran sewa, wanita dicabul tuan rumah depan suami

SEREMBAN 11 Jan. - Seorang wanita membuat laporan polis kerana dicabul pemilik rumah sewanya pada Jumaat lalu selepas didakwa tidak membayar sewa berjumlah RM280.

Pemilik rumah yang juga seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun itu didakwa bertindak ganas dengan memicit buah dada wanita terbabit sebelum mengusirnya keluar rumah dalam kejadian di Taman Bidara dekat sini.

Menurut sumber, dalam kejadian pukul 8 malam itu, suspek berkenaan datang ke rumah terbabit bersama seorang rakan sebelum memecahkan pintu pagar dan jeriji rumah sewanya.

“Terkejut dengan tindakan suspek, wanita berusia 48 tahun itu yang juga seorang mualaf keluar ke halaman rumah bersama suami dan bertanyakan apa yang terjadi.

“Ketika itu berlaku pertengkaran apabila warga emas berkenaan menuduh mereka tidak melangsaikan sewa sebanyak RM280 dan mengugut untuk memukul suaminya,” katanya.

Kata sumber itu lagi, selepas mendengar tuduhan pemilik, wanita berkenaan menegaskan mereka telah membuat bayaran sewa bulanan seperti ditetapkan.

Namun, tambah sumber, pemilik kediaman yang naik berang dengan jawapan berkenaan bertindak memegang dan memicit buah dada wanita itu sambil disaksikan suaminya.

“Sejurus kejadian itu warga emas terbabit memberi tempoh kepada suami isteri berkenaan supaya mengosongkan rumah sekiranya bayaran tidak dibuat.

“Mangsa yang berang dengan kejadian membuat laporan di Balai Polis Rahang, di sini semalam (kelmarin),” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Menurut Abdul Rahim, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. - UTUSAN ONLINE


EmoticonEmoticon