jobs from my.neuvoo.com

28 Januari, 2015

Wanita ramai anak kuat seks?

Sekadar gambar hiasan
PANDANGAN klise masyarakat yang mengaitkan pasangan mempunyai anak ramai seringkali ditafsirkan sebagai individu yang kuat seks adalah tidak tepat.

Malah, mengaitkan wanita yang melahirkan ramai anak sebagai orang yang kuat seks dan menerima kepuasan seks di tahap maksimum juga bukanlah satu kenyataan yang benar bagi menjadi kayu pengukur kepada tahap perlakuan seksual seseorang.

Menurut Perunding Urologi, Profesor Madya George Lee Eng Geap, anak ramai bukanlah petunjuk bahawa individu berkenaan ialah seorang yang kuat seks atau mendapat kepuasan seks yang tinggi, tetapi menandakan bahawa individu berkenaan adalah seorang yang subur.

Beliau berkata, faktor kesuburan juga tidak menunjukkan seseorang itu mendapatkan kepuasan seks yang maksimum sebaik apabila mereka mengandung.

Ini bermakna, biarpun golongan ini subur, tetapi itu tidak menjadikan mereka mendapat kepuasan seks yang maksimum sehingga menyebabkan mereka mengandung.

Ini juga adalah satu kenyataan yang perlu diperhalusi, iaitu tidak semestinya apabila seseorang wanita itu mengandung, ini bermakna dia telah menerima kepuasan seks yang maksimum daripada pasangannya.

“Kedua-dua kenyataan ini memang tiada bersangkutan dengan tahap kepuasan seks wanita. Malahan apabila seorang wanita mengandung mereka pasti akan mengalami rasa penat dan kesakitan dan mana mungkin mereka merasa kenikmatan seks.

“Kajian juga menunjukkan hampir 30 peratus daripada golongan wanita tidak mencapai tahap orgasm ketika melakukan hubungan kelamin bersama pasangan dalam kehidupan mereka tetapi mereka tetap mengandung, dan tidak semestinya apabila tidak mencapai tahap klimaks mereka tidak akan mengandung.

“Ini kerana mengandung bersangkutan dengan sperma yang dipancarkan oleh lelaki ke dalam vagina dan rahim wanita dan tiada kaitan dengan tahap kepuasan seks mahupun keghairahan melampau seksual seseorang,” jelasnya.
Dalam pada itu George berkata, ramai dalam kalangan masyarakat dahulu yang mempunyai anak yang ramai berbanding sekarang.

Salah satu penyebab kepada keadaan berkenaan, berdasarkan kepada kajian menunjukkan kandungan sperma lelaki pada hari ini kurang subur. Kajian dilakukan berdasarkan kepada perolehan sperma yang diterima daripada lelaki sempena kempen pendermaan sperma.

Sperma yang kurang subur, diakibatkan oleh faktor persekitaran dan pemakanan serta gaya hidup hari ini yang menyebabkan golongan ini sudah mula tidak terangsang dengan seks.

“Lagi satu cara hidup golongan lelaki sekarang sudah berlainan kerana banyak aktiviti lain yang dilakukan seperti beriadah, bermain komputer dan sebagainya menyebabkan mereka kurang melibatkan diri dengan aktiviti seksual bersama pasangan.

“Tambahan pula golongan wanita juga berkahwin lambat dewasa ini, kerana masing-masing sudah mempunyai kerjaya profesional. Apabila berkahwin lambat golongan ini semakin menurun kesuburannya berbanding anak gadis zaman dahulu yang berkahwin sewaktu usia muda,” katanya.

Dalam pada itu dia menjelaskan, pemikiran generasi sekarang dan tanggapan mereka terhadap anak adalah berbeza kerana dahulu ibu bapa menganggap anak umpama ‘aset’ kepada mereka untuk bekalan di hari tua, berbanding hari ini yang segala-galanya memerlukan kos bagi menampung keperluan anak-anak yang semakin meningkat.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/wanita-anak-ramai-kuat-seks-1.53077#sthash.wMd6J00A.dpuf


EmoticonEmoticon