jobs from my.neuvoo.com

17 Februari, 2015

Hanya sempat berkain pelikat

BANDARAYA MELAKA - Empat lelaki warga asing, termasuk seorang yang hanya sempat memakai kain pelekat, lintang-pukang melarikan diri ke dalam sebuah semak berhampiran rumah mereka di Semabok di sini apabila diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri awal pagi semalam.

Pegawai penguatkuasa terpaksa meredah semak di kawasan berkenaan untuk mencari mereka, sebelum berjaya menahan mereka kira-kira 30 minit kemudian.
Tiga lagi rakan serumah mereka tidak sempat melarikan diri dan berjaya ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen.

Pengarah Imigresen negeri, Mahpof Mahmood berkata, pihaknya percaya terdapat 14 pendatang di dalam rumah berkenaan, di mana tujuh daripada mereka sempat melarikan diri.

Beliau percaya mereka berjaya melarikan diri apabila beberapa ekor anjing yang ditambat di luar rumah menyalak semasa anggota penguatkuasa menghampiri rumah berkenaan, sekali gus memberi amaran awal kepada mereka.

Menurutnya, anggota penguatkuasa turut berjaya menahan enam lagi Pati di dua lokasi lain iaitu di sebuah pusat hiburan di Malim dan sebuah lagi rumah di Semabok.

“Seramai 13 Pati membabitkan empat warga Myanmar, tiga warga India dan masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh dan Vietnam berjaya ditahan,” katanya di sini semalam.

Kesemua mereka kini ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

Selain itu mereka turut disiasat di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas, dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tamat tempoh permit.

Kesemua mereka kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan lanjut.


EmoticonEmoticon