jobs from my.neuvoo.com

10 Februari, 2015

'Kalau curang ngaku aja'

Jakarta: Kelincahan Ketua Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia, Abraham Samad ‘menepis’ tuduhan selingkuh terhadapnya ternyata menyebabkan ramai pihak berang.

Antaranya ialah sekumpulan wanita muda yang menggelar diri mereka Srikandi Pembela Kesatuan Tanah Air Indonesia (PEKAT).

Ketuanya, Amanda Chusz berkata, Abraham perlu bersikap budiman dan berani mengakui pernah bermain kayu tiga dengan wanita selain isterinya.

“Sebagai Ketua KPK, Abraham mesti berlaku jujur jika dakwaan mengenainya benar,” katanya.

Abraham kini dituduh berlaku curang dengan seorang wanita dari Pontianak, Feriyani Lim, selepas gambar menyerupainya tersebar meluas.

Gambar itu didakwa dirakam di sebuah bilik hotel di Makassar.

Sebelum ini Abraham pernah dikaitkan dengan seorang jelitawan peserta siri realiti Indonesia.

Dia menafikan kedua-dua tuduhan itu.

Kata Amanda, apa yang mereka mahukan adalah kejujuran daripada Abraham.

Amanda ditemani empat anggota lain PEKAT berkumpul di bangunan mahkamah di Jakarta Selatan semalam.

Ketika itu mahkamah sedang bersidang untuk membicarakan pegawai tinggi polis yang cuba dinaikkan sebagai Ketua Polis Negara, Budi Gunawan.

Kedatangan PEKAT ternyata menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.

Tambahan pula mereka hadir dengan pakaian menarik perhatian - berkemeja-T putih dan berlilit kepala dengan tulisan “Save Polri” (Selamatkan polis Indonesia).


EmoticonEmoticon