jobs from my.neuvoo.com

31 Mac, 2015

Air tak ada, alasan elak khalwat

KOTA BHARU - Lima termasuk dua remaja perempuan didenda antara RM600 dan RM900 selepas mengaku salah berkhalwat, di Mahkamah Rendah Syariah, Tunjong, di sini, semalam.

Mereka ialah Ahamad Syamil Zakiran Zuhaimi, 20; Mohammad Sulazmie Che Hassan, 20; Khairul Anam Ramli, 31, yang didakwa berkhalwat iaitu berada bersama-sama dua remaja perempuan berusia 17 tahun dan 18 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kenali, di sini, pada 29 Mac lalu.

Sementara, dua remaja perempuan itu pula dituduh berkhalwat dengan tiga lelaki tersebut pada tarikh dan lokasi sama.

Dalam serbuan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan pada jam 10.05 pagi itu, pihaknya mengetuk pintu rumah sebelum dibuka selang lima minit kemudian oleh tertuduh pertama iaitu Ahamad Syamil dengan berkain pelikat tanpa baju.

Pemeriksaan lanjut ke dalam rumah mendapati tertuduh kedua, Mohammad Sulazmie sedang tidur di ruang tamu juga tidak berbaju dan berseluar pendek, manakala dua remaja perempuan itu ditemui sedang lena di dalam sebuah bilik dengan berpakaian lengkap. Khairul Anam pula berada di dalam sebuah bilik lain yang berkunci dengan hanya berseluar pendek.

Pada prosiding semalam, Hakim, Zahari Mohd Yusoff sempat bertanya, kenapa dua remaja berkenaan berada di situ. Ahamad Syamil kemudian memberitahu mereka menumpang di rumah sewa mereka bertiga kerana rumah remaja tersebut jauh, masing-masing berasal di Machang dan Kuala Krai.

Remaja perempuan yang berusia 18 tahun terbabit, bagaimanapun memberi alasan di rumahnya tiada ada air hingga memaksanya menumpang di situ. Dia juga mengaku baru sahaja mengenali tiga lelaki berkenaan melalui telefon.

Selepas pertimbangan maksimum, Zahari menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM600 terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut, manakala remaja perempuan berusia 17 tahun didenda RM800 dan RM900 terhadap remaja perempuan yang berusia 18 tahun.

Ini kesalahan kedua bagi kedua-dua remaja terbabit. Tahun lalu, tertuduh yang berusia 17 tahun itu pernah dihukum atas kesalahan sama, manakala tertuduh yang berusia 18 tahun pernah dituduh berkhalwat dengan dengan seorg lelaki.


EmoticonEmoticon