jobs from my.neuvoo.com

25 Mac, 2015

Mat Sabu terkenang Karpal, walau bantah hudud, tetap bela PAS

Ketika wujud segelintir pemimpin PAS yang hebat mencabar DAP berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR) susulan keputusannya menentang hudud Kelantan, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengimbau semula jasa bekas pengerusi DAP kepada parti Islam itu.

Berucap pada satu program malam tadi, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, khidmat terakhir mendiang Karpal Singh sebagai peguam ialah membela kerajaan dipimpin PAS di Perak.

Beliau merujuk kenyataan Karpal pada 2009 yang dianggap berbaur hasutan dalam reaksinya terhadap penyingkiran menteri besar (MB) Perak ketika itu, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, oleh Sultan Perak.

"Dalam kes 'rampasan kuasa' di Perak, Karpal merasakan ia menyalahi perlembagaan, lalu mendiang dalam satu wawancara di Ipoh menyatakan sultan bersalah dalam hal itu," kata Mat Sabu merujuk ketika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak setahun selepas pilihan raya 2008.
"Akibat daripada itu, mendiang didapati bersalah dan dikenakan hukuman RM4,000 dan dalam proses rayuan kes itu, Karpal kemalangan dan meninggal dunia.

"Ertinya khidmat terakhir beliau sebagai seorang peguam ialah membela kerajaan dipimpin PAS. Karpal nampak ia bertentangan dengan Perlembagaan, dan tidak kira PAS atau BN, mendiang mesti akan tolong," katanya dalam satu program ceramah solidariti 13 OKZ di Shah Alam.

OKZ merujuk kepada "Orang Kena Zalim", label yang diberi kepada 13 individu dihukum penjara oleh mahkamah kerana menunjuk perasaan membantah pelantikan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak pada 2009.

Pada 11 Mac, 2014, Karpal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap penyingkiran Nizar oleh Sultan Azlan Shah.

Mesra dikenali sebagai "Harimau Jelutong", Karpal, yang juga pernah menjadi ahli Parlimen Jelutong, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak pada 17 April 2014. Beliau berusia 73 tahun.

Program malam tadi merupakan tanda solidariti dan pelancaran kutipan dana bantuan kepada ahli keluarga 13 penyokong PAS yang didapati bersalah itu.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman RM5,000 dan 2 tahun penjara sebelum ini manakala Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman denda RM5,000 tetapi tiada hukuman penjara di samping membebaskan 3 daripada mereka.

Mat Sabu juga berkata, semasa hayatnya, ramai memberi tanggapan salah terhadap Karpal terutama melibatkan isu hudud, kerana beliau dilaporkan pernah berkata "langkah mayat aku dulu" sebelum hendak melaksanakan hudud.

Sebaliknya, kata Mat Sabu, peguam itu merupakan seorang pejuang demokrasi yang menentang perkara menyalahi perlembagaan.

Beliau memberi contoh beberapa kes diambil Karpal seperti kes Halimatun Saadiah yang dibuang kerja kerana memakai purdah.

"Karpal seorang peguam dan amat menjunjung perlembagaan dan demokrasi. Beliau (Karpal) mungkin ada hal yang berbeza dengan kita, terutama dalam undang-undang hudud.

"Dan beliau (Karpal) tidak setuju mungkin dengan beberapa syariat hudud yang dianggapnya bertentangan dengan perlembagaan, tapi Karpal juga pernah membela seorang wanita berpurdah yang dipecat, kerana beliau seorang pejuang demokrasi.

"Begitu juga dengan kes wanita bertudung di Singapura. Beliau ambil kes itu dan menang. Dan kini, Speaker wanita pertama di Singapura memakai tudung," katanya.

Mat Sabu berkata, Karpal tidak seperti pemimpin BN, yang menurutnya mengaku mahu memperbaiki hak asasi manusia tetapi janji itu tidak ditunaikan sehingga kini. – 25 Mac, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mat-sabu-terkenang-karpal-walau-bantah-hudud-tetap-bela-pas#sthash.OKbS0XcS.dpuf


EmoticonEmoticon