jobs from my.neuvoo.com

25 Mac, 2015

Pemuda PAS sependapat PKR, tidak mahu Pakatan berpecah

Pemuda PAS dilihat sama pendirian dengan PKR dengan menolak perpecahan dalam Pakatan Rakyat sebagai jawapan terbaik meleraikan kemelut politik yang melanda gabungan tersebut.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, perpecahan antara PR hanya merugikan gabungan parti pembangkang itu dan akan menyebabkan parti Islam sekali lagi bergerak bersendirian seperti zaman 1980-an.

"Dari segi harapan rakyat, ia dibuktikan melalui pilihan raya lalu, dengan memberi sokongan 100%. Dan saya rasa, formula untuk kita mendapatkan kuasa ialah dalam bentuk kesatuan, seperti gabungan Barisan Nasional (BN) atau PR.

"Kalau berpecah, parti kita akan jadi bersendirian. Dengan itu menyebabkan kita berada pada kedudukan seperti di zaman 80-an. Kalau kita sendirian, bagaimana kita mahu berdepan parti lawan seperti BN?" soalnya kepada The Malaysian Insider.

Malah, beliau optimis perbezaan pendapat dalam PR mengenai pelaksanaan hudud dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama di antara pimpinan parti.

"Masalah ini (pergelutan dalaman PR) perkara biasa dihadapi mana-mana organisasi, kita akan berdepan dengan masalah, ia dicipta oleh Tuhan untuk kita berdepan dengan cabaran dan menangani masalah itu.

"Yang penting, kita urus perbezaan itu. Tidak ada masalah dalam dunia ini yang tidak boleh diselesaikan. Saya optimis pimpinan boleh duduk semeja dan mencari titik persefahaman dalam isu ini," katanya lagi.

Terdahulu, ketika berucap pada ceramah di Shah Alam malam tadi, beliau meminta penyokong PAS tidak terlalu risau dengan situasi melanda PR kini.

"Tidak perlu risau kerana inilah proses kematangan. Pergolakan adalah perkara biasa dalam mana-mana pertubuhan atau organisasi," katanya di hadapan lebih 100 hadirin.

Nurul Izzah Anwar berkata sesuatu pada program di Shah Alam semalam bagi meraikan 13 'Orang Kena Zalim' yang didapati bersalah kerana terlibat dalam protes krisis perlembagaan Perak.

Nurul Izzah Anwar berkata sesuatu pada program di Shah Alam semalam bagi meraikan 13 'Orang Kena Zalim' yang didapati bersalah kerana terlibat dalam protes krisis perlembagaan Perak.

Program ceramah itu diadakan tanda sokongan terhadap 13 individu yang dilabelkan "Orang Kena Zalim" (OKZ) yang dihukum penjara oleh mahkamah kerana menunjuk perasaan membantah pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, pada 2009.

Beliau berkata, Pemuda PAS berharap pimpinan tertinggi PR dapat menyelesaikan kemelut itu secepat mungkin, seiring dengan harapan penyokong yang mahu gabungan itu terus kukuh.

"Kita golongan muda hanya membantu. Tidak perlu kita runtuhkan perasaan dan harapan rakyat jelata. Pemuda PAS dan rakan lain mengharapkan kebijaksanaan semua pihak, khususnya pimpinan tertinggi, meredakan masalah tersebut," katanya.

DAP dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semalam memutuskan terus bersama PR tetapi menamatkan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menuduh beliau bertindak tidak jujur dan tidak bermaruah.

Bagaimanapun, pemimpin PKR dan PAS mahu masalah itu dibincangkan melalui mesyuarat pimpinan tertinggi PR.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali meminta presiden PAS itu diberi peluang menjelaskan isu hudud pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau juga melahirkan harapan Hadi akan menghadirkan diri dan menjelaskan tindakannya yang dituduh membelakangi pimpinan parti dan dasar bersama PR.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar, kiri) pula menyifatkan keputusan DAP memberi kesan buruk kepada parti Islam itu dan meminta pertemuan diadakan segera.

Turut hadir pada program malam tadi ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga menyentuh mengenai isu pergolakan dalam PR.

"Saya baru balik dari mesyuarat biro politik. Kita buat resolusi yang PKR masih mahukan presiden PAS dan DAP duduk semeja," kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Katanya, PR berusaha sedaya upaya menolak perpecahan kerana ia hanya memberi laluan mudah kepada Umno dan BN.

Meskipun menerima tentangan hebat rakan sekutunya DAP, kerajaan Kelantan tetap membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dan diluluskan Dewan Undangan Negeri Khamis lalu.

Hadi pada 18 Mac menghantar notis ke Parlimen memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan. – 25 Mac, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemuda-pas-sependapat-pkr-tidak-mahu-pakatan-berpecah#sthash.Uoue7QU1.dpuf


EmoticonEmoticon