jobs from my.neuvoo.com

20 Mac, 2015

Respon Nora Danish kepada isu aksi seksi artis wanita

Sejak kebelakangan ini, industri hiburan digemparkan dengan satu persatu kisah aksi selebriti tampil dengan imej seksi sebagai penghias muka depan majalah.

Lebih panas apabila aksi tersebut menimbulkan kemarahan dan rasa jengkel ramai pihak kerana ia disifat menyentuh sensitiviti masyarakat.

Selain selebriti yang terpalit dengan isu berkenaan antaranya Diana Danielle, Kilafairy dan Sharifah Sakinah, aktres jelita Nora Danish juga pernah dihambat kontroversi gara-gara tampil dengan gaya seksi untuk sebuah majalah, kira-kira tiga tahun lalu.

Lebih teruk ketika gambar itu tersebar, dia sewaktu itu sedang menunaikan umrah di tanah suci Makkah.

"Saya bemula dalam industri ini menerusi didikan pengarah Aziz M Osman. Sejak itu saya memang sudah terbiasa mendengar arahan pengarah dan akan cuba berikan yang terbaik seperti yang diminta pengarah.

"Saya jenis yang tidak pandai membantah dan itu juga cara saya hormat pengarah saya.

"Sama juga jika saya menjalani penggambaran sesi fotografi misalnya untuk menjadi penghias kulit majalah. Saya juga tidak mahu mengecewakan pihak majalah itu.

"Jadi semasa penggambaran apabila pihak berkenaan meminta kita pakai baju yang mereka sediakan, sewaktu itu memang saya ada beritahu yang saya tidak pakai baju sebegitu.

"Namun, mereka minta juga saya pakai. Bila saya pakai, sebagai contoh nampak pula perut, tapi mereka suruh tarik sikit baju itu dan menutupi perut saya. Hasilnya baju itu nampak tidak cantik pula.

"Insiden saya dikecam dulu, sebenarnya pihak berkenaan beritahu yang mereka akan membuat suntingan pada gambar tersebut tetapi rupa-rupanya mereka beri janji palsu pada saya dan ketika itu saya rasa teraniaya.

"Sikit sebanyak sebenarnya saya juga faham apa yang dirasai oleh rakan artis saya yang baru-baru ini dikaitkan dengan insiden yang seperti mana pernah saya lalui," katanya kepada Malaysian Digest ketika diajak berkongsi pengalaman sebagai antara artis yang sentiasa menjadi buruan pihak penerbitan majalah untuk menjadikan dirinya penghias muka depan.

Nora, 33, ditemui pada majlis pelancaran dan doa selamat filem Isteri Untuk Dijual di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, semalam.

Menariknya selain buat pertama kali berganding dengan pelakon Kamal Adli, filem arahan Ira Rahman ini juga menyaksikan Nora memengang watak sebagai Anabella, seorang yang asalnya hanyalah model penghias majalah yang akhirnya menjadi seorang model terkenal.

Dalam pada itu, akui ibu beranak satu ini lagi, pengalaman pernah dikecam serta dikritik hebat ekoran insiden tersebut memberi pengajaran yang sangat besar kepada dirinya.

Insiden tersebut menjadikan dia kini menjadi lebih berhati-hati terutama jika dia dipilih menjadi penghias kulit majalah kerana tidak sanggup lagi menjadi mangsa janji manis pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sekarang ini saya jadi lebih lagi berhati-hati. Jika ada pihak yang mahu jadikan saya penghias muka depan, saya akan pastikan betul-betul dulu baju yang bagaimana dan penampilan yang mereka mahu saya lakukan.

"Saya sedar yang saya ini bukanlah seorang yang sempurna jadi rasanya tidak layak untuk berikan apa-apa tips atau nasihat.

"Selagi kita ini bergelar artis apa saja yang kita buat akan jadi perhatian orang tidak kira baik atau buruk. Cuma bagi saya, kita ikut kata hati, maksudnya jika kita rasa tidak selesa melakukan sesuatu itu seperti yang diminta, kita beritahu yang kita tidak selesa dan janganlah terlalu menurutkan kehendak orang lain," katanya.

Berhabis RM100,000

Perkembangan lain, Nora kini sibuk dengan persiapan perbukaan kafenya yang diberi nama Kopi N XOXO. Kafe yang terletak di Bangsar itu merupakan perkongsian Nora bersama beberapa teman baiknya dan ia akan beroperasi tidak lama lagi.

"Sebenarnya, saya dan kawan-kawan sudah lama ada perancangan mahu membuka kafe. Kebetulan sewaktu saya sedang buat 'survey' butik untuk menempatkan fesyen jubah jenama saya sendiri iaitu Nora Danish, saya diberitahu ada ruang kosong yang terletak di bahagian atas butik tersebut.

"Jadi kami pun rasa inilah masanya untuk kami mulakan perniagaan kafe.

"Dari segi dekorasi, susun atur meja dan kerusi, konsep hinggalah pilihan menu, semuanya saya dengan kawan-kawan saya lakukan sendiri dan kami berhabis modal lebih kurang RM100,000 untuk kafe ini.

"Baru kami tahu bukan senang nak buka kafe, penat tapi seronok. Istimewanya, kafe saya selain kopi, ada menu spagetti daging salai dan goreng pisang cheese," beritahunya dengan nada teruja.

Di samping itu, Nora juga sedang menantikan tayangan filem lakonannya Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Suami Jatuh Dari Langit yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.

- mD

1 comments so far


EmoticonEmoticon