jobs from my.neuvoo.com

16 Mac, 2015

Video suntingan Ustaz Kazim tersebar hanya separuh

MOHAMAD Kazim bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Attan (empat dari kiri) serta tetamu berselawat selepas berceramah di SK Serkam Darat, malam semalam.
Jasin: Pendakwah bebas, Datuk Mohamad Kazim Elias mendakwa klip video yang disiarkan di YouTube dimanipulasi sesetengah pihak sehingga menimbulkan dakwaan bahawa beliau sebagai penyebar hadis dan riwayat palsu.

Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah, Perak itu dalam ceramah agamanya malam semalam mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan kekeliruan itu bagi membersih namanya.

Beliau berkata, kenyataan yang disiarkan dalam klip video di Youtube tidak dipetik dari awal sehingga menyebabkan mudah dimanipulasi sesetengah pihak.

“Orang tak nak dengar ceramah saya (dari awal), tapi hanya menontonnya di Youtube yang disiarkan berdurasi pendek dan menyebarkannya,” katanya ketika berceramah di padang Sekolah Kebangsaan Serkam Darat, di sini, anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam, malam semalam.

Mohamad Kazim menjelaskan, kenyataan roti jala dan kari kambing yang disebutkan dalam video berkenaan adalah perumpamaan kepada makanan Nabi Muhammad SAW yang paling mahal iaitu tepung yang dicampur dengan madu dan kurma dan dibakar menggunakan minyak zaitun.

“Kalau saya sebut ‘thawiq’ orang tak faham. Dalam sebuah kitab ada menyebut Nabi Muhammad memakan roti daripada tepung dan labu yang dikiraikan dan dimakan dengan air rebusan daging yang dijadikan gulainya.

“Kalau roti yang dibuat daripada tepung, dicampur dengan air dan garam, dikiraikan dan dimakan berkuahkan daging, di sini panggil roti jala. Orang Arab sebut thawiq dan orang Makkah pula panggil fattih.

“Semua itu disebut dalam kitab. Dalam hal ini menunjukkan Nabi Muhammad adalah insan yang paling ‘sempoi’ (mudah),” katanya.

Awal bulan ini, surat rasmi Jabatan Mufti Perlis tersebar di Internet sebagai tanda tidak bersetuju dengan Mohamad Kazim yang menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena hari keputeraan Raja Perlis.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dalam akaun Facebooknya turut menyatakan keputusan dibuat mendakwa penceramah bebas itu sering menggunakan hadis palsu dalam ceramahnya selain turut memuat naik teks ceramah Mohamad Kazim yang didakwa riwayat palsu, namun tidak menghalang penceramah berkenaan berceramah di Perlis.

Sementara itu, Mohamad Kazim turut mengulas mengenai kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung pendakwa penglipur lara yang dikatakan merujuk kepada gaya ceramahnya.

“Saya berceramah (semata-mata) nak ajak orang ramai minat belajar dan cintakan ilmu, sebab itu saya kena jadi macam-macam (guna pelbagai cara).

“Itu adalah kaedah dan pendekatan dakwah supaya orang ramai senang terima dan senang dapat (ilmu). Tapi kalau saya berceramah di masjid atau mengajar di sekolah pondok, saya tidak menyanyi sebaliknya akan buka kitab dan kena serius,” katanya.


EmoticonEmoticon