jobs from my.neuvoo.com

20 Mei, 2015

Seronok, janda muda hanyut penuh khayal

KUALA KEDAH - Seorang janda muda beranak satu di sebuah perkampungan, di sini, mendakwa menjadikan dadah sebagai alat penghilang kebosanan dialaminya.

Dalam operasi bermula jam 4 pagi semalam, kira-kira 145 penduduk tempatan termasuk tiga janda muda ditahan kerana disyaki menghisap dadah.

Ketika diserbu, janda muda hanya dikenali sebagai, Kila , 22, dan rakannya, Sha, 22, didakwa sedang melakukan aktiviti mencurigakan dalam sebuah kediaman.

Kila berkata, dia mula menghisap dadah bagi menghabiskan masa lapang memandangkan dia berasa bosan dengan kehidupannya kini.

“Sebelum ini, saya di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar. Bukannya saya tidak boleh berhenti menagih dadah. Sebenarnya, saya hanya inginkan hiburan.

“Saya kebosanan dan tidak tahu hendak buat apa. Lagipun, kebanyakan rakan sebaya lebih kurang sama sahaja dengan keadaan saya,” katanya.

Kila berkata, dia berpisah dengan bekas suaminya, bagaimanapun memiliki seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Seronok dan tekanan jadi punca ambil dadah

Manakala, Sya berkata, dia menghisap dadah jenis syabu atas dasar seronok-seronok semata-mata tanpa pengetahuan ahli keluarganya di Pulau Pinang.

Anak kedua dari tiga beradik yang tinggal bersama nenek dan datuk di kampung berkenaan berkata, dia tidak akan tidur seharian sebaik mengambil dadah.

Menurutnya, dia tidak bekerja mendakwa menggunakan wang simpanan hasil kerja di Pulau Pinang untuk membeli dadah antara dua, tiga kali seminggu.

Turut ditahan, janda muda berusia 32 tahun dikenali Di, yang memiliki anak berusia sembilan dan 10 tahun yang ditahan bersama seorang rakan lelakinya.

Di berkata, dia akan mengambil dadah apabila memiliki wang dengan membelanjakan antara RM100 hingga RM200  sejak tiga tahun lalu  bagi melepaskan tekanan.

Pendandan rambut mak nyah terpengaruh kawan

Manakala, seorang lelaki berperwatakan wanita dikenali sebagai Ki, 32, berkata, dia mengambil dadah jenis syabu sejak berusia lingkungan 20-an lagi.

Katanya, dia menetap di kampung berkenaan dan menyara kehidupan dengan melakukan pekerjaan sebagai seorang pendandan rambut di kediamannya sendiri.

Ki berkata, dia mula terjebak dalam kancah penagihan dadah sejak hampir 10 tahun lalu disebabkan terpengaruh dengan kawan-kawannya sendiri.

Menurutnya, keluarga sememangnya menyedari masalah ketagihan dialaminya, malah ada menasihatkannya untuk berubah dan balik ke pangkal jalan semula.

“Saya sendiri sememangnya berniat ingin berubah, bagaimanapun rasa agak susah.

"Sebelum ini, saya pernah cuba untuk tidak menagih,” katanya.

Ki berkata, dia tidak memiliki pendapatan sekiranya tiada pelanggan, oleh itu dia akan menyimpan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.

Anak bongsu dari dua adik beradik ini, berkata, dia mendapatkan bekalan dadah secara mingguan, yang mana dibeli dengan harga sekitar RM30 bagi setiap satu.

Kawasan hitam digempur

Pengarah AADK Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, operasi berkenaan diketuai Ketua Pegawai AADK Kota Setar/Pokok Sena, Suria Azlina Shaarin.

Mohammad Nazer berkata, seramai 145 individu yang mana tiga daripada merupakan orang kena pengawasan (OKP) antara ditahan kerana disyaki menagih dadah.

“Saya yakin 80 peratus daripada bilangan penduduk ditahan positif dadah. Kebanyakannya adalah golongan nelayan terdiri daripada remaja dan belia di kawasan tersebut,” katanya.

Katanya, tiga kawasan terkenal sudah dikenal pasti panas antaranya adalah di bawah Jambatan Tok Pasai, Kampung Tepi Laut dan tepi Seberang Kota.

Namun, katanya, mereka dipercayai mengubah taktik mendapatkan bekalan apabila tidak menggunakan port, sebaliknya berpecah ke kawasan berhampiran.

Mohammad Nazer berkata, operasi terbesar bagi Kuala Kedah dilaksanakan bagi memutihkan daerah berkenaan yang dianggap hitam dan berisiko tinggi sebelum ini.

Menurutnya, operasi disertai 139 kakitangan AADK dan dibantu Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk memastikan kawasan panas berkenaan bersih dari penagih dadah.


EmoticonEmoticon