jobs from my.neuvoo.com

07 Mei, 2015

Tidak rasmi: Wan Azizah menang di Permatang Pauh, majoriti lebih 9,000

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hampir pasti kembali ke Parlimen selepas kiraan tidak rasmi keputusan pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh menunjukkan beliau menang bagi kali keempat.

Setakat 8.40 malam, presiden PKR itu mendahului dengan 29,448 undi, meninggalkan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin yang mendapat 20,004, iaitu majoriti 9,444 undi.

Sejumlah 71,252 orang layak mengundi pada PRK ini, dan selesai proses mengundi pada 5.00 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata 52,983 atau 73% keluar mengundi.


PKR masih mendahului kiraan undi di ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, termasuk di kubu kuat PAS, Permatang Pasir. Dua lagi DUN ialah Seberang Jaya dan Penanti.

Pada pilihan raya umum ke 13 (PRU13) dua tahun lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi itu dengan jumlah uni 37,090, atau 58.56% daripada jumlah keseluruhan undi 63,332, dengan majoriti 11,721. Peratusan keluar mengundi pada PRU13  ialah 88.3%.

Selepas suaminya Anwar dipenjarakan pada 1998, Dr Wan Azizah pernah memenangi kerusi itu pada PRU 1999, 2004 dan 2008, sebelum meletak jawatan beberapa bulan selepas itu bagi memberi jalan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara PKR, BN, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman dan calon bebas Salleh Isahak. – 7 Mei, 2015.


EmoticonEmoticon