jobs from my.neuvoo.com

08 Jun, 2015

Bahana bawak balik jantan ke rumah

Alor Setar: Bahana membawa pulang teman lelaki bermalam di rumah, seorang wanita cedera ringan mendakwa dipukul dua abang dan seorang saudara lelakinya dalam kejadian di rumah keluarga mereka di Jalan Kuala Kedah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, teman lelaki wanita terbabit berusia 21 tahun turut cedera ringan apabila dipukul, ditumbuk dan ditendang dua abang mangsa bersama seorang saudara lelakinya selepas menyedari mangsa membawa pulang lelaki itu tanpa pengetahuan keluarga.

Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, mangsa berusia 26 tahun dikatakan berjumpa dengan teman lelakinya di Jalan Pegawai di sini, kira-kira jam 8 malam lalu membawanya bermalam di rumah dengan alasan mahu lelaki itu menziarahi anak wanita itu yang berusia sembilan bulan.

Bagaimanapun, dua abang mangsa yang menyedari perkara itu berang lalu memecahkan pintu bilik bersama seorang saudara lelaki mereka sebelum menumbuk, memukul serta menendang teman lelaki adiknya hingga pengsan.

Sumber berkata, teman lelaki wanita berkenaan turut diikat dan dipukul berulang kali manakala adik perempuan mereka ditampar selain rambutnya ditarik ketiga-tiga suspek menyebabkan mangsa terpaksa menghubungi ambulans untuk meminta bantuan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri sebaik menyedari kehadiran sebuah kereta peronda polis bersama ambulans di rumah mereka.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa dan teman lelakinya tidak bekerja dan belum berkahwin selain membawa teman lelakinya bermalam di rumah dengan alasan untuk melawat anak wanita itu,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa dan teman lelakinya kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami lebam di bahu kanan dan kedua-dua tangan manakala wanita terbabit hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar hospital manakala semua suspek ditahan polis untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56439?m=1#sthash.MKFjEkoo.dpuf


EmoticonEmoticon