jobs from my.neuvoo.com

21 Jun, 2015

Bekas pimpinan pemuda PAS sertai DAP

Ditengah-tengah hubungan DAP dan PAS yang semakin meruncing, seorang aktivis parti Islam itu menyertai parti sekular itu.

Bekas pemimpin pemuda PAS Johor Sheikh Omar Ali kini secara rasmi ahli DAP.

Sheikh Omar menyerahkan borang keahliannya kepada penasihat DAP Lim Kit Siang dalam satu majlis berbuka puasa di Kluang Johor semalam.

Manakala aktivis reformasi Norazimah Mohamad Nor pula akan menyerahkan borang kemudian kerana beliau tiada dalam majlis itu semalam.

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, yang menyertai DAP Sabtu lalu, dan MP Kluang Liew Chin Tong turut hadir dalam majlis itu.

Sheikh Omar menjelaskan bahawa beliau mengambil keputusan menyertai DAP kerana senario politik yang kian parah di negara ini.

"Isu yang melibatkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Felda Global Ventures (FGV), Tabung Haji, penyelewengan Tabung Haji, krisis dalaman Umno dan banyak lagi, amat menuntut kepada satu langkah tuntas bagi memastikan rakyat dapat diselamatkan dari terus menjadi mangsa," katanya

Justeru, dalam kenyataannya semalam, Sheikh Omar percaya dengan menyertai DAP, terdapat ruang baginya untuk memainkan peranan buat parti itu terutamanya kerana beliau seorang yang muda sebagai agen perubahan.

Ini bukan kali pertama Sheikh menjadi tajuk utama berita, sebelum ini beliau mencabar Jawatankuasa PAS Pusat semasa mesyuarat Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) untuk menggulingkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum muktamar parti itu bulan lepas.

'Bentuk M'sia yang demoratik'

Sheikh adalah seorang graduan Universiti Malaya yang pernah memimpin kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan juga pembantu kepada MP Kluang Liew Chin Tong.

Tindakan beliau itu mengejutkan banyak pihak dalam PAS, ekoran krisis yang berterusan antara parti itu dan DAP.

"Saya juga punya keyakinan menerusi wadah DAP ini akan dapat menjadi platform untuk saya memainkan peranan lebih aktif dalam usaha ke arah membentuk Malaysia yang lebih demokratik, adil dan sejahtera,” katanya.

Dalam muktamar PAS dua minggu lalu, telah meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP mendorong Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengarahkan wakil PAS di Pulau Pinang supaya melepaskan jawatan mereka.

Sejak itu, DAP menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat telah mati manakala Hadi menegaskan parti Islam itu masih lagi dalam Pakatan.

Sementara itu, Norazimah yang lebih dikenali sebagai Nora Reformis, memberitahu Malaysiakini beliau telah memberitahu beberapa pemimpin DAP mengenai hasratnya untuk menyertai parti itu.

"Keputusan saya adalah berdasarkan penilaian saya terhadap DAP sebagai mempunyai platform yang terbaik untuk rakyat. Bagi saya, tiada sempadan untuk rakyat," kata Nora.

Wanita berusia 40 tahun itu sebelum ini pernah bermalam di lokap polis merupakan aktivis yang terkenal dalam demonstrasi jalanan sejak reformasi 1998.


EmoticonEmoticon