jobs from my.neuvoo.com

08 Jun, 2015

Biar putus dengan DAP, asal maruah PAS terjaga - Khalid Samad

PAS perlu melaksanakan usul Dewan Ulama yang mahu parti Islam itu memutuskan kerjasama dengan DAP, bagi memperlihatkan mereka tidak tunduk kepada parti sekular itu dan memperlihatkannya parti yang bermaruah, kata Khalid Samad.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, parti juga perlu melaksanakan usul berkenaan bagi memperlihatkan perbezaan di antara kepimbinan baru dan lama.

“Untuk mengotakan semangat di sebalik usul itu dan supaya PAS tidak dituduh tunduk pada DAP, kemaruk jawatan serta sebagai parti yang tidak bermaruah, hasrat usul tersebut perlu dilaksanakan.

“Maka biarlah tindakan tegas dan berani, meletakkan harapan hanya pada Allah. Berani kerana benar dan yakin Allah bersama pihak yang benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata keputusan pemilihan parti kali ini disifatkannya satu ‘rombakan menyeluruh’ yang sememangnya sudah lama diusahakan pimpinan yang menggelar diri mereka sebagai ‘pro-ulama’ di dalam PAS.

Katanya, dengan tercapainya ‘pembersihan’ ini, maka rakyat dan ahli menunggu untuk melihat perbezaan, samada dalam pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua, antara pimpinan baru dan pimpinan lama.

“Keinginan untuk perbezaan ini merupakan sebab dan justifikasi terhadap usaha gigih yang dilakukan sepanjang beberapa bulan untuk menjatuhkan pimpinan lama dan menaikkan pimpinan baru.

“Amat mengecewakan sekiranya selepas berusaha dengan begitu gigih dan matlamat tercapai, akhirnya tiada sebarang perbezaan kecuali retorik semata-mata,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata pimpinan baru wajib diberikan ruang seluas-luasnya untuk melaksanakan pembaharuan pendekatan, kaedah, hala tuju atau apa jua yang diinginkan ke arah mengukuhkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, pendekatan yang digunakannya sedikit berbeza dengan kepimpinan baru, maka menggunakan kaedah itu mungkin beliau tidak dapat memberikan khidmat terbaik.

"Saya sudah membuat pendirian saya tidak akan mencampuri apa jua hal kepimpinan parti kerana khuatir akan menjadi penghalang kepada apa yang diingini.

“Ini adalah yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila apa yang diidamkan sebenarnya tidak saya ketahui,” katanya.

Pemilihan PAS pada Sabtu menyaksikan golongan progresif dalam parti itu tidak menjadi pilihan perwakilan sebaliknya membariskan golongan konservatif dalam kebanyakan jawatan yang dipertandingkan.

Pemimpin PAS yang pro PR rata-rata disingkitkan bermula daripada Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayub di peringkat naib presiden. – 8 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/biar-putus-dengan-dap-bukti-pas-parti-bermaruah-kata-khalid-samad#sthash.xDs3yKkq.dpuf


EmoticonEmoticon