jobs from my.neuvoo.com

17 Jun, 2015

DAP letak semua jawatan lantikan di Kelantan berkuatkuasa hari ini

DAP Kelantan meletakkan semua jawatan lantikannya selaras keputusan DAP Pusat yang memutuskan Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi wujud, kata Lee Chin Chen hari ini.

Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu itu berkata, tiga ketua kampung yang dilantik atas kapasiti parti akan melepaskan jawatan berkuatkuasa esok.

Mereka ialah Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas, Irene Tan; Penghulu Tanpa Mukim DUN Kota Lama, David Ng Yang Seng; dan Penghulu Kampung Pulai, Tan Chee Hung.

"Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP bagi Negeri Kelantan dan Terengganu menyokong sebulat suara keputusan Jawatankuasa Pusat DAP.

"Memandangkan kerajaan negeri Kelantan yang dinaungi PAS tidak lagi merupakan kerajaan negeri pimpinan PR, maka tindakan untuk meletak jawatan sebagai ketua kampung diambil dan akan berkuatkuasa tanpa berlengah lagi.

"Tindakan ini mustahak bagi mempertahankan maruah parti serta memberikan sokongan padu kepada Jawatankuasa Pusat DAP," katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata, pihaknya kesal dengan PAS yang bertegas melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau hudud di Kelantan kerana ia bercanggah dengan dasar bersama PR serta Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, usul hudud PAS tidak mengambil kira pendapat masyarakat bukan Islam dan diluluskan walaupun DAP mengemukakan tentangan dari semasa ke semasa.

"Pihak penyelaras DAP ingin mendesak agar semua wakil kerajaan PAS di Pulau Pinang mengundurkan diri segera dalam menjunjung keputusan kepimpinan baru parti itu yang memutuskan hubungan dengan kami.

"Atas prinsip mempertahankan maruah serta keputusan parti, ketiga-tiga ketua kampung lantikan DAP akan meletak jawatan pada keesokan hari dan DAP bukan lagi sebahagian daripada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengumumkan PR kini berkubur selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang bermesyuarat malam tadi memutuskan menerima usul tanpa bahas Muktamar Tahunan PAS ke-61 memutuskan hubungan antara mereka.

"CEC menerima usul muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP dan secara langsung mengakibatkan PR tidak lagi wujud," katanya. – 16 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dap-letak-semua-jawatan-lantikan-di-kelantan-berkuatkuasa-esok#sthash.NAWBwcux.dpuf


EmoticonEmoticon