jobs from my.neuvoo.com

06 Jun, 2015

DAP tunjang utama, ikhlas bangunkan Kelantan pasca banjir - Dr Hatta

Dr Mohd Hatta Ramli hari ini mengingatkan kerajaan negeri Kelantan peranan yang dimainkan rakan sekutu mereka DAP melalui Gabungan Impian Kelantan dalam pembangunan pasca banjir di negeri itu.

Berucap pada hari terakhir muktamar, bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga ahli Parlimen Kuala Krai itu berkata, DAP ikhlas meneruskan usaha tersebut walaupun timbul ura-ura PAS mahu memutuskan hubungan dengan mereka.

“Banyak sudah rumah dibuat. Pasar Besar Kuala Krai rosak tak boleh berniaga, mereka datang membantu. DAP datang membina berpuluh stor, sampai boleh berniaga.

“Bila timbul isu kita sehari dua ini, saya cepat bertanya kepada rakan kita (DAP), nak terus bina rumah? Mereka kata ‘tak ada masalah, ini untuk kemanusiaan. Teruskan’,” katanya.

Hatta berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhannya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor hari ini.

Mendedahkan lebih lanjut, Hatta berkata, Gabungan Impian Kelantan sudah membeli tanah lima ekar di Kampung Sungai Mas, Kuala Krai dan akan membina 40 buah rumah disertai dengan program ekonomi bagi mereka yang kehilangan rumah dan tidak memiliki tanah.

Katanya, program berkenaan jelas menunjukkan bagaimana ukhwah yang ditunjukkan DAP tanpa mengira kerjasama yang ditunjukkan kerajaan negeri Kelantan.

“Rumah ini akan dibuat sekali lagi. DAP akan bina rumah ini, bukan kerajaan negeri Kelantan.

“Kalau nak kira terguris hati, tentulah mereka akan mengambil tindakan tidak wajar. Politik ini ada juga hadnya.

“Itu ukhwah yang kita cuba bina selama ini. Bukan senang nak mengikat mata hati ini, tetapi musuh boleh meruntuhkan segalanya,” katanya.

DAP pada bulan lalu mendakwa Putrajaya hanya mampu membina 5 rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan sebelum Ramadan tiba, dan jumlah itu jauh lebih rendah berbanding 22 rumah yang disiapkan menerusi projek Gabungan Impian Kelantan.

Setiausaha organisasi kebangsaannya Anthony Loke berkata, 22 rumah di Kampung Pasir Tumboh akan dapat diserahkan kepada pemiliknya pada 11 Jun ini iaitu sebelum Ramadan berbanding janji Putrajaya hendak menyiapkan 5,000 rumah kepada mangsa banjir.

Loke berkata perkembangan yang ditunjukkan melihatkan badan bukan kerajaan dan pihak yang berkaitan dapat melakukan usaha yang lebih baik berbanding apa yang dijanjikan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. – 6 Jun, 2015.


EmoticonEmoticon