jobs from my.neuvoo.com

06 Jun, 2015

Dicabul ustaz muda ketika dapatkan rawatan

SUBANG JAYA – Hasrat seorang eksekutif mendapatkan rawatan tradisional bagi penyakit misteri yang dialaminya berakhir malang apabila dia dicabul seorang ustaz muda di Subang Jaya, baru-baru ini.

Mangsa berusia 23 tahun bertemu dengan ustaz berkenaan selepas ibunya membawa lelaki terbabit dari sebuah kawasan rumah kedai di Kampung Medan ke rumahnya di SS19, di sini.

Suspek dikenali sebagai Ustaz F itu menyuruh ibu mangsa menyediakan barang-barang diperlukan dan memulakan upacara bacaan jampi selepas meminta mangsa berbaring di depannya, kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata suspek pada mulanya dilihat merawat mangsa secara normal namun tiba-tiba kemudian melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa.

“Suspek meraba anggota sulit mangsa dan menyuruh semua ahli keluarga yang berada di dalam bilik meninggalkannya berdua bersama mangsa.

“Melihat gelagat Ustaz F yang tidak menyenangkan, ibu mangsa meminta rawatan dihentikan dan menghantar Ustaz F pulang,” katanya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya.

Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki pada malam Rabu lalu di sebuah pangsapuri di Taman Datuk Harun.

Suspek berusia 24 tahun ketika ditahan sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu.

Hasil siasatan mendapati suspek mempelajari cara rawatan Islam daripada bapa saudaranya menggunakan ayat al-Quran selepas tamat belajar tingkatan 5.

Pemeriksaan selanjutnya mendapati suspek yang tidak mempunyai pekerjaan lain dan hanya menjalankan rawatan perubatan secara Islam sepenuh masa tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.


EmoticonEmoticon