jobs from my.neuvoo.com

07 Jun, 2015

Gempa lagi, TS Muhyiddin dan DS Hj Hadi bergegas keluar, nyaris terperangkap

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bergegas keluar meninggalkan bangunan di Taman Kinabalu di Kundasang, Sabah, ketika satu sesi taklimat tertutup, apabila gegaran kecil berlaku di kawasan tersebut.

Gegaran kira-kira jam 1.35 petang itu mengakibatkan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PAS Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz turut berlari keluar dari bangunan berkenaan.

Orang ramai yang berada dalam bangunan Restoran Liwagu, lokasi taklimat tersebut yang terletak di dalam kawasan Taman Negara Sabah itu, turut bersegera keluar meninggalkan bangunan dan berkumpul di kawasan lapang.

Muhyiddin sebelum itu mendengar taklimat bencana serta operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau pada pagi Jumaat.

The Malaysian Insider bagaimanapun difahamkan, Muhyiddin dan Hadi hanya terserempak secara kebetulan di lokasi tersebut.

Muhyiddin pada sidang medianya di tangga bangunan itu berkata, pihaknya mencadangkan satu kajian dijalankan bagi mewujudkan pusat pemantauan gempa bumi di Sabah.

"Tadi baru kita rasa gegaran sementara. Untuk jangka masa ke hadapan, saya berpendapat mungkin satu kajian Jabatan Geosains perlu dibuat melibatkan pakar gempa.

"Wujudkan sebuah pusat memantau perkara sebegini. Di Sabah tidak ada lagi (pusat sedemikian).

"Apakah ada cara menerusi kajian geosains dan pergerakan gempa yang boleh kita gunakan untuk perkenalkan prosedur operasi standard, atau latihan diberikan kepada penduduk setempat," katanya kepada pemberita.

Beliau menyampaikan ucapan takziah Putrajaya kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga, sambil menambah, kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah akan memberikan bantuan bencana berjumlah RM10,000 kepada keluarga setiap mangsa.

"Ini supaya mereka boleh uruskan jenazah dan pengebumian," katanya sambil menjelaskan bantuan berkenaan, dibuat berdasarkan formula yang diguna pakai dalam bantuan bencana negara, bagaimanapun hanya untuk rakyat Malaysia saja.

"Yang lain, kita sudah bantu mencari dan menghantar mereka pulang," katanya.

Muhyiddin berkata, mereka yang mengalami kecederaan akan menerima bantuan ihsan bernilai RM2,000 manakala yang tidak mengalami sebarang kecederaan akan menerima RM1,000.

Mengulas berkenaan lawatannya ke beberapa lokasi di Ranau hari ini, beliau berkata, pasukan yang bertanggungjawab sedang menjalankan ujian forensik terhadap beberapa bangunan.

"Mereka akan menentukan sama ada bangunan yang terjejas oleh gempa bumi itu perlu dirobohkan atau boleh dibaiki," katanya.

Mengulas lanjut mengenai misi menyelamat awal pendaki yang dilakukan kumpulan malim gunung di Gunung Kinabalu, Muhyiddin berkata, usaha mereka akan dan sepatutnya dihargai.

"Kita perlu mengiktiraf usaha mereka. Mereka hero yang tidak didendang dan melaksanakan tugas dengan baik," katanya. – 7 Jun, 2015.


EmoticonEmoticon