jobs from my.neuvoo.com

09 Jun, 2015

Jangan terpengaruh dengan provokasi jahat Guan Eng, kata ulama PAS

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (gambar, kiri) menyeru agar pimpinan PAS Pulau Pinang dan Selangor tidak terpengaruh dengan kenyataan Lim Guan Eng yang disifatkannya sebagai satu provokasi.

Katanya, kenyataan yang dibuat ketua menteri Pulau Pinang itu pada Sabtu bertujuan supaya pimpinan PAS di Pulau Pinang meletak jawatan mereka dalam kerajaan negeri tersebut.

"Biarkanlah Lim dengan segala keangkuhannya bertindak menurut apa yang dikehendaki oleh partinya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyarankan agar mana-mana ahli dan pimpinan PAS tidak mendahului Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat dengan mengambil tindakan sendiri meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri meskipun jika ada permintaan dari Lim.

"Begitu juga, pimpinan PAS Selangor yang sama-sama membentuk kerajaan Selangor menerusi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga menerusi persetujuan bersama Sultan Selangor untuk membentuk kerajaan, tidak perlu keluar daripada kerajaan negeri sekarang.

"Sementelah lagi kerajaan Selangor bukan milik bersendiri DAP, tapi milik bersama 3 parti yang menyumbang kepada kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Tambahan pula, Khairuddin berkata, usul Dewan Ulama PAS Pusat memutuskan hubungan dengan DAP itu dalam masa yang sama menegaskan PAS mahu kekal dalam Pakatan Rakyat (PR), bukannya keluar daripada PR.

"PAS tidak akan keluar daripada PR," katanya.

Katanya, ia sejajar dengan penjelasan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini: "Kita masuk tahaluf siyaasi dengan hukum, maka keputusan keluar juga mesti berdasarkan hukum. Dan hukum itu diputuskan Majlis Syura Ulama, bukannya oleh muktamar."

Pada masa sama, Khairuddin berkata, usul tergempar yang diluluskan sebulat suara Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat itu merupakan cadangan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

Bagaimanapun, disebabkan salah faham dalam konteks itu, usul itu dipinda hingga menyebabkan pembawaan maksud yang berbeza, iaitu "menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP.

"Apabila usul tersebut diputuskan untuk diterima tanpa bahas dalam Muktamar PAS Pusat oleh Jawatankuasa Usul PAS Pusat, ia bermaksud meluluskan usul tersebut untuk diputuskan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Ia bukan bermaksud meluluskan usul untuk terus sahaja Muktamar membuat kepuusan memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Beliau juga menyarankan ahli PAS memahami isi kandungan usul Dewan Ulama PAS itu bagi mengelak terlibat membuat sebarang tindakan melulu. – 9 Jun, 2015.


EmoticonEmoticon