jobs from my.neuvoo.com

19 Jun, 2015

'Ketika lakukan seks, saya rasa kosong' - Mangsa dijual ibu sendiri

MIMPI ngeri Toha kini sudah berakhir. Dia memperoleh pendapatan stabil, menganyam gelang yang dijual di kedai di Amerika Syarikat sambil belajar untuk masa depan. Impiannya adalah ingin menjadi pekerja sosial, membantu kanak-kanak perempuan lain yang turut melalui pengalaman sama.
Apabila sebuah keluarga miskin di Kemboja gagal melunaskan hutang dengan ceti haram atau along, si ibu akan menyuruh anak perempuan termuda untuk bekerja, tetapi ia bukanlah kerja sembarangan.

Gadis bernama Kieu itu dibawa ke hospital dan diperiksa doktor yang mengeluarkan ‘sijil keperawanan’ sebelum dihantar kepada seorang lelaki di hotel yang memperkosanya selama dua hari.

Ketika itu, Kieu baru berusia 12 tahun.

“Saya tidak tahu apakah pekerjaan itu,” kata Kieu, 14, yang kini tinggal di tempat yang selamat.

Selepas perawannya dijual, ibu Kieu membawanya ke rumah pelacuran yang mengurungnya seperti dalam penjara.

Kieu ditahan selama tiga hari, dirogol oleh tiga hingga enam orang sehari. Apabila dia pulang ke rumah, ibunya menghantar dia ke dua rumah pelacuran lain termasuk di sempadan Thai sejauh 400 kilometer.

Selepas mengetahui ibunya merancang menjualnya sekali lagi, dia nekad melarikan diri.

“Ia meremukkan hati apabila terpaksa jual anak perempuan saya, tetapi saya terpaksa,” kata ibu Kieu, Neoung ketika ditemu bual CNN.
Neoung menyalahkan kemiskinan hingga terpaksa mengambil keputusan menjual anak perempuannya. Krisis kewangan mengheret Neoung kepada cengkaman pengedar
yang menjadikan kanak-kanak Kemboja mata pencarian.

“Disebabkan hutang, saya terpaksa menjual Kieu. Saya menyesal, tetapi kita tidak boleh kembali ke masa lalu,” kata Neoung.

Penguatkuasaan undang-undang yang lemah, rasuah, kemiskinan dan kerapuhan institusi sosial menyebabkan sindiket pemerdagangan seks kanak-kanak di Kemboja berleluasa.

Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan satu pertiga daripada 40,000 hingga 100,000 orang dalam industri seks adalah kanak-kanak.
IBU Toha, Ngao mengaku terpaksa menjual anak perempuan keduanya itu kepada pedagang seks untuk memenuhi keperluan kewangan keluarga. Dia mempunyai lapan anak.

Svay Pak (Suwaipak), sebuah kawasan melarat di pinggir ibu kota Phnom Penh, Kemboja juga menjadi pusat perdagangan eksploitasi ini.

Ia satu daripada kawasan perumahan yang dihuni penduduk antara termiskin di Asia - separuh penduduk memperoleh pendapatan RM7.41 sehari. Keadaan rumah dan bot yang hampir roboh menceritakan keadaan hidup mereka.

Neoung menjual anak gadisnya kepada lelaki Kemboja yang mempunyai tiga anak kerana perlu menyelesaikan hutang sebanyak RM1,851 meskipun pinjaman sebenar hanya RM740.

Neoung kemudian menghantar anak gadisnya ke rumah pelacuran lain untuk menambahkan pendapatan.

“Apabila pelanggan berada di sana, saya perlu memakai seluar pendek dan mendedahkan bahagian atas.

“Mereka gembira kerana dapat tidur bersama saya, tetapi saya rasa amat bersalah,” kata Kieu yang mempunyai pelanggan yang meminati kanak-kanak untuk dijadikan teman seks.

Orang yang menyalahgunakan kanak-kanak Svay Pak itu termasuk pelancong seks pedofilia yang secara aktif melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak yang meningkat naik.


KEBANYAKAN penduduk penternak ikan. Di bawah platform terbabit terletaknya sangkar ikan yang menjadi sumber pendapatan tunggal keluarga.

Perawan untuk dijual

Saudara Kieu bernama Sephak turut menjadi mangsa dan ketika berusia 13 tahun, dia dibawa ke hospital yang mengeluarkan perakuan daranya. Kemudian Sephak diserahkan kepada seorang lelaki China di bilik hotel Phnom Penh. Selepas tiga malam, dia pulang ke rumah dan ibunya dibayar RM2,963.
“Ketika melakukan hubungan seks, saya rasa kosong. Saya berasa sangat lemah dan ia amat sukar untuk dijelaskan. Saya terfikir mengapa saya lakukan perkara ini dan mengapa ibu sanggup melakukan sedemikian,” katanya.

Tidak jauh dari rumah keluarga Sephak, terletak rumah perahu tempat Toha membesar.

Toha dijual ibunya untuk dijadikan hamba seks ketika berumur 14 tahun.

Kira-kira dua minggu selepas kembali ke Svay Pak, lelaki yang membeli daranya mahu berjumpanya semula. Ibu Toha memaksanya pergi sehingga Toha tertekan dan amat kecewa.

“Saya ke bilik air lalu saya hiris lengan. Saya cuba memotong pergelangan tangan kerana mahu membunuh diri,” kata Toha anak kedua daripada lapan beradik yang berjaya diselamatkan kawannya.

Don Brewster, 59, penduduk Amerika Syarikat yang tinggal di Kemboja menganggap pemerdagangan seks kanak-kanak sukar dibendung.

“Saya tidak dapat membayangkan perasaan mempunyai ibu yang menjual anak mereka. Mereka sanggup menunggu dalam kereta untuk menerima wang hasil anaknya dirogol, sesuatu yang amat menjijikan,” kata Brewster.

Brewster berpindah dari California ke Kemboja bersama isterinya, Bridget pada 2009 untuk misi penyiasatan ke Svay Pak bagi mendedahkan sindiket penyeludupan kanak-kanak di Asia Tenggara.

“Svay Pak dikenali di seluruh dunia sebagai lubuk pedofilia yang kemaruk untuk mendapatkan kanak-kanak perempuan,” kata Brewster menerusi Misi Antarabangsa Agape (AIM), organisasi menjaga kanak-kanak semuda empat tahun yang diselamatkan daripada pemerdagangan dan menjalani pemulihan di rumah selamat itu.

“Sewaktu kami datang ke sini tiga tahun lalu, 100 peratus daripada kanak-kanak antara 8 hingga 12 tahun diperdagangkan,” kata Brewster.

Industri seks tempatan turut ‘menyapu’ kanak-kanak dari kawasan kejiranan -dijual seperti Kieu oleh ibu bapa mereka. Kegiatan itu juga berlaku di kawasan luar bandar atau sempadan Vietnam.

“Kami tidak mempercayai perkara itu sehinggalah melihat sebuah van penuh dengan kanak-kanak,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44493#foto


EmoticonEmoticon