jobs from my.neuvoo.com

08 Jun, 2015

Krisis DAP dan PAS, PKR tak payah masuk campur - Lim Guan Eng

DAP menolak campur tangan pihak ketiga yang akan menjadi orang pendamai kepada pergeserannya dengan PAS yang menjadi semakin buruk selepas usul Dewan Ulama parti itu diterima tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan mereka.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sebagai parti politik yang wujud sejak dari tahun 1966 dan mempunyai majoriti ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat (PR), mereka berupaya untuk menangani isu tersebut secara langsung dengan parti Islam itu.

"Kita tidak perlu orang tengah berhubung isu kita dengan PAS. Segala masalah boleh dibincangkan secara terus tanpa campur tangan orang lain," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Apabila ditanya adakah ianya merujuk kepada PKR yang menyatakan hasrat ingin menjadi orang tengah sebagai pendamai antara DAP dan PAS beliau berkata kenyataannya merujuk kepada mana-mana pihak ketiga.

"Jika ada sebarang isu, kita tidak perlu pendamai. Kita patutnya boleh membincangkan perkara ini sebagai parti politik yang matang," katanya.

Semalam, PKR menyuarakan kesediannya memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha menyelamatkan hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) susulan keputusan muktamar PAS meluluskan usul membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Mengulas perkara itu, Lim berkata usul yang dibuat Dewan Ulama itu bermaksud, mustahil untuk anggota PAS bekerjasama dengan kerajaan negeri yang diketuai beliau.

"Dalam situasi seperti itu, mereka tidak akan mampu untuk menunjukkan ketaatan kepada negeri.

"Apa sahaja kekosongan dalam jawatan yang sebelum ini dipegang ahli PAS akan diisi orang Melayu lain, namun bukan daripada PAS.

"Saya berharap perkara ini jelas. Kita punyai ramai wakil Melayu yang layak untuk memenuhi jawatan tersebut. Jadi, tidak ada masalah," katanya mengulangi kenyataannya sebelum ini.

Semalam, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata, beliau menghormati keputusan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu melepaskan semua jawatannya dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Bercakap di Georgetown, beliau berkata, mana-mana jawatan yang dikosongkan wakil PAS dalam kerajaan negeri itu kelak akan diisi pemimpin Melayu lain yang bukan daripada parti berkenaan.

Lim berkata hari ini, ia perkara yang paling logik dilakukan, memandangkan PAS membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang hubungan kerjasama dengan DAP.

"Saya tidak faham kenapa pemimpin PAS nampak seperti tidak berani memutuskan keputusan sendiri. Adakah kedudukan lebih penting daripada prinsip?" soalnya.

Beliau merujuk kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang keputusan itu masih belum muktamad dan akan dibincangkan lebih lanjut oleh Majlis Syura Ulama.

Beliau mempertikaikan perkara itu kerana katanya, PAS tidak sepatutnya menggunakan perkataan 'terima' semasa membincangkan usul tersebut dalam muktamar tahunan mereka.

"Mereka sepatutnya kata akan merujuk. Apabila kata menerima, maknanya ia sudah diputuskan.

"Jadi janganlah memutar dan berpaling dan bermain dengan kata-kata. Jika mereka putuskan pertalian, maka putuskan. Mereka perlu meneruskan langkah selepas ini," katanya.

Lim juga mendakwa serangan DAP terhadap PAS tidak seteruk apa yang dilakukan parti Islam itu pada muktamar mereka.

"Kita perlu ingat, PAS mengunakan kata-kata menentang DAP. Ia lebih teruk berbanding yang ditujukan kepada Umno yang mereka pernah gelar sebagai Firaun.

"Namun, kepimpinan baru kini menyatakan Umno bukan begitu lagi. Dan sekarang mereka mahu bertemu dan berbincang dengan Umno. Jika benar ada perbincangan, saya ucapkan tahniah," katanya. – 8 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dap-tidak-perlu-pihak-ketiga-untuk-berbaik-dengan-pas#sthash.s7gYcP0b.dpuf


EmoticonEmoticon