jobs from my.neuvoo.com

10 Jun, 2015

'Lebih senang, cepat LGE sendiri pecat ahli PAS' - Ulama PAS

Dewan Ulama PAS Selangor mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memecat ahli PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan di negeri itu.

"Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri sebagai ketua menteri memecat semua ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan," kata setiausaha Dewan Ulama Selangor, Muhammad Najhan Halim.

Mengenai tuntutan Lim supaya ahli PAS meletak jawatan mereka, Muhammad Najhan berkata apakah ketua menteri itu lupa bahawa kerajaan Pulau Pinang dimenangi secara bersama dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama.

"Jangan bertindak seperti Umno-BN yang tidak mampu membezakan antara kerajaan dan parti politik," katanya dalam satu kenyataan malam tadi..

"Adakah DAP sudah lupa indentiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?" kata Muhammad Najhan.

Pada hujung minggu lalu, badan tertinggi dalam membuat keputusan dalam parti Islam - muktamar atau perhimpunan agung - meluluskan resolusi menggesa majlis syura parti dan jawatankuasa pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Memandangkan ini, Lim berkata dari segi politik PAS tidak kekal dalam kerajaan Pulau Pinang yang dipimpinnya, kerana beliau juga merupakan setiausaha agung DAP.

Ahli PAS menyandang lebih 1,000 jawatan dalam majlis dan agensi kerajaan Pulau Pinang.

Ini termasuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di majlis perbandaran dan bandaraya dan dalalm jawatankuasa keselamatan (JKKK).

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man (gambar) kini merupakan pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP), pengerusi Zakat Pulau Pinang dan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Hab Halal Pulau Pinang.

Setakat ini, dua bekas pemimpin PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Mujahid Yusof Rawa, telah mengumumkan hasrat mereka untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri itu sebagai menghormati keputusan muktamar itu.

Muhammad Najhan juga menggesa ahli PAS menunggu majlis syura dan jawatankuasa pusat baru untuk memperinci dan memperhalusi keputusan yang dibuat di muktamar itu.

Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat, dan segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Parti PAS seharusnya diberi hak laluannya sendiri dan dan bebas untuk menentukan halatujunya tanpa terikat dengan mana-mana pihak, katanya sambil menambah: "Jangan ada pihak yang cuba untuk mencucuk hidung PAS agar mengikut segala karenah dan kehendak pihak lain khususnya DAP."


EmoticonEmoticon