jobs from my.neuvoo.com

17 Jun, 2015

Lim kata 'berkubur', yang lain kata masih hidup

Beberapa pemimpin parti pembangkang masih menaruh harapan untuk melihat Pakatan Rakyat kekal sebagai satu kuasa politik, walaupun atas alasan yang sangat berbeza.

Beberapa minit selepas Lim Guan Eng mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud, pemimpin PAS dan PKR masih menyebut nama gabungan itu dan bertegas mereka masih sebahagian daripadanya.

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz (gambar) berkata Pakatan Rakyat kekal sebagai satu gabungan dan DAP hanya bertindak sendirian dalam membuat keputusannya.

Menegaskan bahawa Majlis Syura PAS masih belum membincangkan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP - yang telah diluluskan tanpa bahas di muktamarnya minggu lalu - Nik Abduh berkata, ia kini terpulang kepada PAS dan PKR untuk mengekalkan gabungan itu.

"(Pakatan) belum berakhir. Kita masih ada dua parti. Kami dalam Pakatan adalah sebuah gabungan parti, selagi Pakatan mempunyai dua parti, gabungan itu masih wujud. Ini semua terpulang kepada PAS dan PKR," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, keputusan DAP adalah satu pengajaran kepada PAS dan pemimpin Pakatan bahawa mereka harus menjaga mulut mereka apabila bercakap tentang rakan-rakan mereka.


EmoticonEmoticon