jobs from my.neuvoo.com

22 Jun, 2015

Majikan berulang kali cabul di tapak binaan

Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 31 tahun nekad membuat laporan polis selepas dicabul dan diraba majikannya di hadapan beberapa pekerja lain.

Dalam kejadian jam 7 petang Khamis lalu, mangsa mendakwa dicabul suspek berusia 51 tahun tahun di sebuah kawasan tapak pembinaan di Cheras di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila mangsa diarah suspek mengekorinya ke tapak binaan bersebelahan pejabat mereka.

“Sebaik tiba di tapak binaan, suspek (majikan) mengeluarkan kata-kata lucah terhadap mangsa, namun tidak diendahkan.

“Bagaimanapun suspek bertindak lebih biadap apabila berulang kali memegang paha kiri mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa hanya mampu mendiamkan diri selain berusaha menjauhkan diri daripada suspek dan beberapa pekerja tapak binaan itu.

Zainuddin berkata, suspek bagaimanapun menghampiri mangsa sebelum bertanyakan lagi pelbagai soalan berbaur seks termasuk hubungan mangsa dengan suaminya.

“Mangsa hanya mendiamkan diri dan kembali ke pejabat dalam keadaan ketakutan,” katanya.

Menurutnya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pudu di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Sehingga kini suspek belum diberkas dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK). Usaha mengesan suspek masih dilakukan,” katanya.


EmoticonEmoticon