jobs from my.neuvoo.com

08 Jun, 2015

Muktamar khas jika ulama PAS setuju putus hubungan dengan DAP

Satu muktamar khas akan diadakan bagi membolehkan perwakilan menyuarakan pandangan sekiranya Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan DAP, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Naib presiden PAS baharu itu berkata, muktamar khas perlu diadakan kerana melalui muktamar jugalah parti membuat keputusan untuk mengadakan kerjasama politik bersama Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

"Usul itu akan dinilai oleh Majlis Syura. Kalau ada asas, ia akan dibentangkan di muktamar PAS. Muktamar khas yang akan menentukan.

"Muktamar dulu yang memutuskan untuk mengadakan tahaluf, untuk memutuskan tahaluf ini pun akan ditimbang dalam muktamar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Amar berkata, perwakilan yang mempertikaikan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas adalah kerana mereka tidak memahami proses pembuatan keputusan parti.

"Mereka (perwakilan) tak jelas, kurang faham dengan keputusan itu. Dia ingat diterima, diterima terus. Sedangkan dalam usul itu mendesak Majlis Syura.

"Maknanya kalau diterima, diterima untuk Majlis Syura. Majlis Syura, kalau ada asas, mereka akan buka untuk perbahasan. Kalau tak ada, tolak teruslah," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat akan melaksanakan arahan sekiranya Majlis Syura memutuskan untuk menghentikan kerjasama dengan DAP.

Katanya, Majlis Syura tidak dapat mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat kerana jawatankuasa itu sudah terbubar selepas muktamar.

"Kalau dilihat usul (Dewan) Ulama diterima tanpa bahas. Oleh kerana isu tahaluf itu melibatkan hukum syarak maka kita mendesak supaya Majlis Syura buat keputusan mengikut hukum syarak kerana sebelum ini kita buat tahaluf kita bawa pada Majlis Syura.

"Apabila muktamar setuju untuk putuskan hubungan, oleh kerana kita belum rujuk Majlis Syura, maka keputusan muktamadnya ialah Majlis Syura yang akan memutuskan," katanya.

Mahfodz yang juga ahli Majlis Syura melahirkan kekecewaannya kerana usul berkenaan diluluskan tanpa dibahaskan di muktamar.

Katanya, isu berkenaan penting dan perlu dibahaskan di muktamar supaya perwakilan diberi pencerahan yang mantap.

"Sebab itu dalam ucapan saya, Dewan Ulama terkilan sedikit pasal benda besar macam itu tak dibahaskan dalam muktamar.

"Muktamar berhak beri pandangan sebegitu kerana isu besar sebegitu kena dibahaskan walaupun tak boleh buat keputusan muktamad.

"Tetapi sekurang-kurangnya kita punya usul itu akan lebih jelas lagilah. Pasal ulama boleh menjelaskan lagi tahaluf siasi dengan DAP itu," katanya kepada The Malaysian Insider.

AJK PAS Pusat Sallehin Mukhyi pula berkata Majlis Syura berhak membuat keputusan berhubung kerjasama dengan DAP dan mereka hanya bertindak sebagai pelaksana agenda strategik yang tidak berkait hukum agama dan prinsip tertinggi.

Katanya, usul berkenaan sewajarnya tidak dibahaskan di muktamar kerana bimbang DAP akan berkecil hati.

"Saya pun setuju bila ia tak perlu dibincangkan sebab nanti akan lebih banyak perbalahan, kata nista kepada DAP semakin banyak.

"Kita tak nak forum itu nanti menjadi hambur kata nista. Tak perlu dibahas orang ramai, tapi perlu kepada Majlis Syura saja," katanya.

Sallehin berkata, apa jua yang diputuskan Majlis Syura, ia akan terpakai di peringkat pusat dan pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa tanpa ada masalah.

Seorang lagi naib presiden baharu, Datuk Iskandar Abdul Samad pula berkata kerjasama PR yang erat di Selangor akan cuba diketengahkan sewaktu mesyuarat AJK PAS Pusat.

Katanya, hasil kerjasama PR yang baik di Selangor, PAS dapat mengadakan muktamarnya di sebuah lokasi yang selesa di Kuala Selangor dan ini tidak dapat dilakukan jika PAS bergerak sendirian.

“Keputusan dah dibuat. Kita akur pada keputusan tersebut. Maknanya ada lagi satu peringkat iaitu di peringkat lebih tertinggi. Saya naib presiden mewakili Selangor, saya pun boleh beri pandangan.

"Sebab saya lihat di Selangor, kita tak ada masalah dalam kerjasama dengan semua parti di Selangor. Kita akan bawa pandangan itu dalam mesyuarat pusat," katanya.

Iskandar berkata walaupun kebanyakan AJK PAS Pusat terdiri daripada golongan ulama, namun ia tidak bermakna mereka bersetuju untuk memutuskan hubungan dengan PR.

"Tidak semua ustaz berpandangan sedemikian sebab yang bantah (usul) dari Marang iaitu seorang ustaz. Dia juga tidak setuju dibawa ke atas dan tidak dibincangkan.

"Tidaklah kata ustaz, akan terus menolak kerjasama," katanya. – 8 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muktamar-khas-jika-ulama-pas-setuju-putus-hubungan-dengan-dap-kata-pemimpin#sthash.m8FMLkaO.dpuf


EmoticonEmoticon