jobs from my.neuvoo.com

10 Jun, 2015

PAS bakal bentuk kabinet ‘pro Hadi’ malam ini

PAS akan membentuk kabinetnya malam ini dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa PAS Pusat kurang seminggu selepas berakhirnya muktamar ke-61, Sabtu lepas.

Ia dipercayai akan menyaksikan kumpulan pro Hadi memonopoli semua jawatan penting parti selepas kumpulan profesional yang tewas enggan menerima sebarang pelantikan.

Ia akan diadakan di pejabat agung PAS Jalan Raja Laut jam 8.30 malam dan akan dipengerusikan oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily melaporkan, mesyuarat tersebut akan melantik setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya PAS yang baharu.

Yang pasti, PAS akan mendapat bendahari, ketua penerangan dan pengarah pilihan raya yang baru kerana jawatan itu sebelum ini dipegang kumpulan profesional yang dikatakan enggan dilantik semula.

"Isunya, apakah Datuk Mustafa Ali akan dikekalkan sebagai setiausah agung atau tidak? Dalam mesyuarat lepas, Hadi cuba menukarnya dengan Datuk Takiyudin Hasan tetapi ditolak oleh naib-naib presiden ketika itu," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Mustafa dan bendahari Asmuni Awi tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan baru-baru ini.

Hadi akan membuat mesyuarat pre-council dengan anggota Dewan Harian PAS yang menang pemilihan baru-baru ini sebelum membawa keputusan itu kepada mesyuarat AJK PAS Pusat.

Dewan Harian adalah badan pengurusan tertinggi dalam PAS.

Ia dianggotai presiden, timbalan presiden (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man), naib-naib presiden (Idris Ahmad, Datuk Iskandar Samad dan Datuk Mohd Amar Abdullah), ketua-ketua dewan pemuda (Nik Mohammad Abduh Nik Aziz), ulama (Datuk Dr Mahfudz Mohamad) dan muslimat (Nuridah Salleh).

Ia akan disertai setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan ketua pengarah pilihan raya selepas mereka dilantik nanti.

Menurut satu sumber, Hadi mahukan Mustafa kekal dalam Dewan Harian tetapi tidak pasti apakah beliau akan diberikan juga jawatan setiausaha agung itu.

Selain setiausaha agung, Mustafa sebelum ini juga pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, organ parti yang penting untuk PAS. – 10 Jun, 2015

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-bakal-bentuk-kabinet-pro-hadi-malam-ini#sthash.HclaseCj.dpuf


EmoticonEmoticon