jobs from my.neuvoo.com

08 Jun, 2015

PKR akan bertindak sebagai pendamai antara PAS dan DAP

PKR berkata hari ini ia akan memainkan peranannya "berunding" dengan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) demi menyelamatkan gabungan parti pembangkang itu dari memusnahkan dirinya sendiri, sehari selepas PAS dalam muktamar tahunannya meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, PKR sedar rakyat mendambakan perubahan daripada PR dan sistem dua partinya dan ini terbukti melalui keputusan dua pilihan raya kecil (PRK) terbaru di Permatang Pauh dan Rompin.

"Momentum perubahan ini perlu diteruskan.

"Oleh itu, PKR akan menerajui usaha menjadi penghubung demi mempertahankan aspirasi rakyat yang mahu melihat PR kekal," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di ibu pejabat parti itu hari ini.

Fahmi berkata, pemimpin PKR akan berunding dengan pimpinan PAS dan DAP berhubung krisis antara dua parti yang bertelagah itu, terutamanya berhubung isu hudud yang hendak dilaksanakan parti Islam itu di Kelantan.

"PKR tekad dan istiqamah untuk terus perjuangkan harapan rakyat berlandaskan kerangka PR," katanya mengulas mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan masa depan PR.

Selepas bermesyuarat selama 4 jam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail keluar dan berkata kepada media, "kami mahu (PR) terus bersama."

Katanya, beliau akan berjumpa pemimpin PAS dan DAP di Parlimen esok bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

"Rakyat memilih PR. Bermakna, mereka melihatnya sebagai satu alternatif," katanya.

Ditanya sama ada Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan menyertai PR, Dr Wan Azizah menjawab ringkas: "PasMa ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kita akan bermesyuarat dan bincang."

Dewan Ulama PAS dalam muktamarnya pada Rabu membawa usul menyarankan parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP.

Usul itu diluluskan tanpa bahas oleh PAS Pusat pada muktamar utamanya pada Jumaat walaupun terdapat perwakilan yang marah dan menyuarakan bantahan terhadap perkara itu.

Usul itu selepas ini akan dibentangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat yang akan membuat keputusan muktamad. – 7 Jun, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-akan-bertindak-sebagai-pendamai-antara-pas-dan-dap#sthash.0ZVQybxL.dpuf


EmoticonEmoticon