jobs from my.neuvoo.com

07 Jun, 2015

PR Bukan Lagi Suara Rakyat

Jangka hayat Pakatan Rakyat, yang pernah menjadi harapan majoriti rakyat Malaysia, sudah hampir tamat.

Ia bukan disebabkan dasar Barisan Nasional yang semakin baik, tetapi kemerosotan prestasi politik Pakatan Rakyat (PR) yang semakin teruk.

Mirip kegagalan Barisan Alternatif pada tahun 2004, inilah yang sedang terjadi kepada muafakat politik yang terbentuk pasca pilihanraya tahun 2008.

Kerjasama hari ini, sekadar bersyiarkan nama PR tetapi tindak dan kata komponennya menjurus perpecahan yang makin melarat.

Rakyat sendiri, walaupun menolak parti pemerintah, sudah jelek, letih dan meluat dengan perangai terkini parti-parti komponen PR dan watak-watak pimpinannya yang khianat kepada kepercayaan yang diberikan pada idea bersama PR.

Kebongokkan yang terjadi hari ini membuktikan idea PR, yang pernah menjadi pilihan 51% rakyat Malaysia yang mengundi, sebenarnya bukanlah semata-mata gabungan tiga parti politik, PAS, DAP dan PKR itu.

Jadi, siapakah sebenarnya PR? Apakah idea yang menjadi harapan rakyat?

PR yang sebenar tidak lain dan tidak bukan, adalah rakyat itu sendiri.

PR yang sebenar adalah rakyat yang menolak rasuah, penyelewengan, ketidakadilan, kejumudan, perkauman, pembodohan, pelampau, politik yang tidak konstruktif dan penolakan dasar ekonomi yang membebankan rakyat.

PR yang sebenar adalah rakyat yang percaya dengan nilai kebersihan urustadbir, keadilan, keterbukaan, kesatuan, kebebasan, keilmuan, kemajuan, kebertanggungjawaban, kesederhanaan, politik konstruktif yang menumpukan potensi besar negara dan dasar ekonomi yang menyebelahi rakyat.

PR yang sebenar bukanlah pakatan parti-parti politik sahaja tetapi pakatan rakyat sesama rakyat, kita sesama kita.

Tiada lagi ketaksuban kepartian. Tiada lagi palitan kisah lama dan pautan fahaman yang kolot. Yang ada adalah gerakan rakyat yang jujur, konsisten dan padu.

Bila tiba masanya barangkali, dengan proses demokrasi, semangat Pemasyhuran Kemerdekaan, prinsip dan cita-cita yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, rakyat sendiri yang akan membawa perubahan ke arah kebaikan kepada negara, untuk semua, merentasi perbezaan dan menjangkaui potensi negara yang sebenar.



- FMT


EmoticonEmoticon