jobs from my.neuvoo.com

29 Jun, 2015

Sepuluh kanak-kanak diliwat budak 12 tahun

BULAWAYO (Zimbabwe): Sepuluh kanak-kanak lelaki dari Kem Polis Commonage Barat berusia antara enam hingga sembilan tahun menjadi mangsa liwat budak lelaki berusia 12 yang tinggal di kawasan sama dan rakannya yang tidak diketahui identiti mereka.

Tiga daripada tujuh mangsa dilaporkan hanya tinggal di dalam rumah sejak tiga hari lalu kerana tidak mampu berjalan akibat kecederaan serius.

Kejadian 14 Jun lalu itu dikatakan tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana ibu bapa budak yang dipercayai ketua geng terbabit mengancam keluarga mangsa.

Semua mangsa yang juga murid sekolah rendah berlainan itu dibawa untuk pemeriksaan di Hospital Mpilo dan doktor mendapati tiga daripadanya mengalami kecederaan serius.

Laporan perubatan yang didedahkan ahli keluarga mangsa menunjukkan memang ada tanda mereka diliwat.

Seorang ibu berkata: “Saya rasa ada sesuatu tidak kena dengan anak selepas dia pulang dalam keadaan terhenjut-henjut. Apabila disoal, dia mendakwa cedera ketika bermain. Tetapi saya tahu sesuatu yang tidak kena kerana dia murung dan akhirnya mengaku diliwat.

“Malangnya, dia antara tiga yang paling teruk cedera. Namun, kami memutuskan untuk mendiamkan perkara ini kerana ibu kanak-kanak yang meliwatnya mengancam melakukan sesuatu yang buruk jika kami mendedahkan nama anaknya.

“Apa yang lebih penting kini adalah anak-anak kami mendapat perlindungan supaya boleh membesar dengan tenang.”

Seorang bapa mangsa menyuarakan rasa terkejut seorang kanak-kanak tergamak mencederakan budak yang lebih kecil.

“Saya masih terkejut bagaimana budak bawah umur boleh melakukan perkara seperti itu? Anak saya kini terpaksa makan ubat dan berharap dia kekal stabil.

“Pihak sekolah tidak menyedari kejadian itu kerana bimbang berita tersebar seterusnya mempengaruhi kesihatan mental mereka,” katanya.

Seorang lagi ibu berkata, anaknya menceritakan dengan terperinci apa yang berlaku walaupun laporan perubatan mengatakan dia tidak diliwat.

“Si pelaku yang juga ketua kes liwat itu mempunyai beberapa rakan yang tinggal di luar kem. Saya tidak akan berhenti kerana perkara ini memberi kesan buruk kepada mental anak saya.

“Lebih membimbangkan, polis tidak mengambil langkah tegas untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Bagaimana anak-anak kami mahu melalui kehidupan setiap hari dengan melihat orang yang meliwat mereka?” katanya.


- Agensi


EmoticonEmoticon