jobs from my.neuvoo.com

25 Julai, 2015

Bai'ah talak tiga ahli PAS tidak sah, Mat Sabu sokong Mufti P. Pinang

Georgetown: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, menyokong kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyatakan bai'ah wakil rakyat parti Islam itu adalah tidak sah.

Beliau yang berulang kali menegas pendiriannya, bersetuju dengan kenyataan Wan Salim, tetapi enggan mengulas lanjut isu terbabit.

"Saya berpegang kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang (mengenai bai’ah wakil rakyat PAS)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) dan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi PASMA, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Semalam, Wan Salim menegaskan sumpah bai’ah talak tiga oleh semua wakil rakyat PAS tidak sah berikutan lafaz talak tidak boleh digunakan demi mencapai kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

Pada Rabu lalu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob mengakui wujud sumpah bai’ah yang diikrar oleh wakil rakyat parti itu dan tindakan melanggarnya boleh membawa padah.

Selain itu, talak yang dilafazkan secara bersumpah, bergurau atau berikrar adalah sah dan hakiki seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan, Datuk Daud Muhammad sebelum ini.

Antara kandungan sumpah bai’ah yang tersebar di laman sosial adalah jatuh talak tiga terhadap semua isteri jika mereka yang bersumpah, keluar atau melompat ke parti lain dengan kerelaan sendiri selepas terpilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau masih ahli PAS, walaupun agresif menggerakkan Harapan Baru yang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Penubuhan (ROS).

Katanya, beliau tidak perlu secara rasmi mengisytiharkan keluar daripada PAS kerana keahliannya akan terbatal secara automatik apabila menyertai parti baharu kelak.

Beliau turut mengakui sedang mempertimbang beberapa nama baru bagi menggantikan nama Harapan Baru, selain belum memutuskan individu yang akan dilantik sebagai Presiden parti itu.


EmoticonEmoticon