jobs from my.neuvoo.com

31 Julai, 2015

Fatwa insurans kesihatan haram

Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa menolak program insurans kesihatan yang diperkenalkan kerajaan kerana didakwa tidak mematuhi syarak.

MUI dalam satu kenyataan memberitahu, program Insurans Sosial Kebangsaan (JKN) yang diuruskan Badan Penyelaras Keselamatan Sosial (BPJS) adalah haram untuk orang Islam.

Katanya, program itu mengandungi elemen yang meragukan, perjudian dan ada unsur riba.

“Pelaksanaan BPJS terutama sekali syarat membabitkan perjanjian pelbagai pihak tidak mematuhi prinsip syariah kerana mengandungi unsur meragukan, judi dan riba,” kata kenyataan itu.

MUI menolak caj pentadbiran sebanyak dua peratus yang dikenakan BPJS untuk bayaran premium JKN.

Ketua majlis fatwa MUI Ma’ruf Amin berkata, sebab utama program itu haram ialah sistem faedah yang digunakan BPJS untuk menjalankan dan menguruskan JKN.

“Sebab utama kerana BPJS menggunakan terma ‘faedah bank’,” katanya tanpa mengulas lanjut.

MUI juga mendesak kerajaan mewujudkan satu lagi program insurans kesihatan untuk penduduk beragama Islam.

“Kami mencadangkan kerajaan mewujudkan perkhidmatan insurans sosial yang mematuhi syariah dan menyediakan perkhidmatan premium,” tambahnya.

Bagaimanapun, fatwa yang dikeluarkan oleh MUI tidak terikat dengan undang-undang dan lebih kepada panduan.

Sementara itu, pengerusi pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama, Said Aqil Siraj mengkritik MUI kerana mengeluarkan fatwa terhadap JKN.

“MUI terlalu mudah mengeluarkan fatwa.

“Mereka (MUI) mengeluarkan hingga 11 fatwa setahun berbanding Mesir yang mengeluarkan hanya tiga fatwa,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67204#sthash.MeZfzwaV.dpuf


EmoticonEmoticon