jobs from my.neuvoo.com

14 Julai, 2015

Gulingkan Najib sahaja belum cukup kata Anwar Ibrahim

Menukar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih tidak cukup untuk rakyat Malaysia, tetapi negara memerlukan komitmen yang serius kepada reformasi dan penghapusan rasuah, kata bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan melalui Pegarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Anwar berkata Malaysia pernah melalui proses yang sia-sia di mana pemimpin ditukar tetapi sistem yang korup masih tidak berubah.

"Kita pernah lalui proses yang sia-sia di mana pimpinan ditukar, tetapi sistem yang korup dan usang masih tidak berubah.

"Kita tidak perlukan penyelesaian sedikit demi sedikit, tetapi komitmen serius kepada reformasi dan penghapusan rasuah.

"Usaha menukar Datuk Seri Najib yang dikepalai Tun Dr Mahathir Mohamad, tanpa reformasi sebenar, hanya akan memuaskan kelompok kroni mereka; ia tidak akan membawa perubahan sebenar buat rakyat," katanya yang sedang menjalani 5 tahun hukuman di penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan Dr Mahathir yang lantang mengkritik Najib berhubung pentadbirannya dan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anwar menggesa rakyat Malaysia melakukan reformasi terhadap institusi utama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut menggesa rakyat supaya melakukan reformasi dalam sistem pilihan raya serta memansuhkan Akta Hasutan dan undang-undang yang merosakkan demokrasi dan menutup mulut rakyat.

Anwar disabitkan meliwat oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari, menyebabkan kerjayanya sebagai ahli politik berakhir di penjara di mana beliau dan penyokongnya mendakwa ia merupakan konspirasi untuk menyingkirnya daripada arena politik negara. – 14 Julai, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jatuhkan-najib-belum-cukup-untuk-reformasi-sebenar-kata-anwar#sthash.kFuxh9qh.dpuf


EmoticonEmoticon