jobs from my.neuvoo.com

24 Julai, 2015

Hadi: Mereka yang beriman tidak akan berwalikan DAP

KUALA LUMPUR: Mereka yang merasai kemanisan perjuangan Islam tidak akan menjadikan DAP sebagai wali mereka, demikian kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini.

Pada waktu yang sama, Hadi juga memuji sikap ahli parti Islam itu yang terus setia dalam perjuangan tanpa mengharapkan pangkat, jawatan atau kedudukan.

“Mereka yang tidak merasai kemanisan perjuangan Islam bersama fadilatnya tidak akan merasai hakikat ini.

“Mereka yang merasai kemanisan iman dalam perjuangan dapat membezakan di antara kawan dan wali.

“(Kita) boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya tetapi tidak boleh berwalikan DAP, kerana tidak beriman dan budiman.

“Mereka yang tidak ada kefahaman dan kemanisan tersebut sanggup hidup dan mati bersama kalangan DAP dan yang sewaktu dengannya kerana tidak membezakan di antara kawan dan wali,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata-kata Hadi itu kelihatan dituju kepada kumpulan pemimpin progresif dalam PAS yang menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bakal dijadikan sebuah parti Islam.

Kumpulan progresif ini atau G-18 kalah dalam pemilihan parti awal bulan lalu kepada kumpulan ulama dan kini tidak berpuas hati dengan arah perjuangan PAS.

Kumpulan ini berharap untuk menubuhkan sebuah parti baru bagi menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang baru untuk mencabar Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Hadi memuji ahli dan penyokong parti, termasuk di kalangan yang dianggap bodoh, miskin mahupun bangsat sentiasa dipelihara Allah kerana ikhlas meneruskan perjuangan Islam.

“Kesemua mereka tetap pendirian walaupun tidak dipilih dalam mesyuarat agung atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam pilihan raya dan tidak mendapat projek dan balak tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah.

“Mereka yang merasakan dirinya sangat bijak tanpa hubungan erat dengan Allah pasti tidak selamat dengan rasa bijaknya sahaja, tetapi tidak mampu mengubah dasar, mengalih matlamat kerana ingin mencapai cita-citanya yang segera menggunakan PAS.

“Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan pula hanya memintas di tengah jalan, hanya meramal untuk menang dunia sahaja.

“Sesiapa yang tidak istiqamah di atas aqidah, dasar dan matlamat pasti berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar daripada jamaah.

“Sesiapa yang hanya ingin berlakon, Allah Maha Mengetahui dia hanya pelakon dan dikeluarkan tanpa diduga dan disangka bersama pelakon tambahannya.

“Sesiapa yang mengubah PAS lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga,” tambahnya.

Hadi berkata, mereka yang memahami perjuangan Islam tidak akan kecewa jika apa yang mereka perjuangkan itu tidak dicapai dalam masa hidup mereka, asalkan mereka istiqamah dalam perjuangan.


EmoticonEmoticon