jobs from my.neuvoo.com

15 Julai, 2015

Harapan Baru cerminan 'Islam Ala Amerika' menyimpang dari PAS - Zuhdi

Seorang pemimpin PAS Pusat mendakwa parti Islam baru yang akan ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baru (GBH), bertentangan dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dan cerminan gagasan pemikiran 'Islam Ala Amerika'.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata gagasan pemikiran itu dipopular oleh Mohamad Sabu dalam ceramahnya sekitar 1990-an bagi menggambarkan Islamisasi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ketika itu, sebagai bukan agenda Islam yang sebenarnya.

Dr Zuhdi berkata gagasan berkaitan pemikiran tersebut terdapat dalam buku bertajuk "The Cambridge Companion to American Islam" yang disusun oleh Juliane Hammer dan Omid Safi.

"Buku ini cuba memaparkan, desakan agar ajaran Islam dikonsepkan dan ditafsirkan semula supaya dapat diterima oleh pemikiran dan budaya masyarakat Amerika hari ini.

"Sudah tentu Islam yang digambarkan bukanlah Islam yang sebenar. Sebagai contoh, baru-baru ini muncul seorang imam gay di Amerika, Daayiee Abdullah, yang amalan Islam jauh terpesong dari ajaran Islam yang sebenar," katanya dalam kenyataannya.

Beliau mengulas pengumuman kumpulan profesional dalam PAS yang kalah dalam pemilihan parti bulan lalu dan menubuhkan GBH untuk mengasaskan penubuhan parti politik baru berteraskan Islam.

Penubuhan Gerakan Harapan Baru untuk memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0” bersama NGO dan rakyat yang bertemakan inklusif, progresif dan peduli.

"Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya Rahmat untuk Semua" dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Mohamad semalam.

Mengulas lanjut, Dr Zuhdi mendakwa 'parti Islam baru' yang bakal ditubuhkan akan selari dengan gerakan Muslim Progresif sekaligus bertentangan dengan agenda dan perjuangan Islam PAS.

"Jelas sekali, parti baru yang bakal ditubuhkan ini tidak berteraskan ajaran Islam yang sebenar tetapi ajaran yang selari dengan gagasan Muslim Progresif.

"Dengan gagasan pemikiran yang didukung itu, parti baru ini akan disenangi oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP sendiri.

"Gagasan seperti ini jauh bertentangan dengan Islam diperjuangkan oleh PAS," katanya.


EmoticonEmoticon