jobs from my.neuvoo.com

23 Julai, 2015

Hudud yang selama ini memecah-belahkan kita – Syahir Nujaba

Hari Raya Aidilfitri kali ini sangat unik. Jika dahulu kita hanya mendengar sesi bercerita atuk-atuk berkenaan sejarah negara, kini para pemuda juga berpeluang berkongsi rasa mengenai perkembangan politik semasa.

Dalam keghairahan diskusi mengenai perjuangan Islam yang cuba dibawa PAS, masih ada penyokongnya yang tidak memahami isu sebenar di sebalik konflik pembawakan hudud.

Ini adalah perkara yang amat memalukan bagi pejuang Islam yang meletakkan kepercayaan dan tekadnya bersama parti politik Islam, tetapi gagal memahami konteks perbincangan hudud di Malaysia. Seharusnya penyokong PAS adalah lapisan pertama yang memahami permasalahan hudud di Malaysia, dan menjadi lidah penerangan kepada masyarakat dalam rangka memberi kefahaman berperingkat. Hanya dengan kefahaman yang jitu, perjuangan yang kita tempuhi akan lebih bermakna dan berjaya dihayati.

Dalam ilmu perundangan, keadilan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu, substantial justice, procedural justice, dan adjectival justice. Ungkapan-ungkapan ini akan menjadi lebih mudah untuk kita fahami dengan cara mengambil ‘ibrah (pengajaran) daripada kes Saidina Ali. Umat Islam pasti sudah maklum dengan kisah ini, di mana Saidina Ali membawa satu kes ke hadapan seorang qadhi (hakim) hebat yang terkenal dengan gelaran Qadhi Shurayh.

Ali mengangkat kes ini disebabkan sebuah baju besinya yang disyaki dicuri seorang Yahudi. Kes yang panjang lebar ini berakhir dengan kemenangan berpihak kepada orang Yahudi tersebut, manakala kekalahan jatuh ke atas Ali. Daripada kes ini, pengajaran pertama yang kita boleh ambil adalah, betapa telusnya sistem keadilan pada zaman tersebut, di mana Ali yang pada ketika itu merupakan seorang khalifah, tidak mengambil jalan mudah untuk memanipulasi kes.

Pengajaran kedua adalah, dalam keadaan hakim tersebut maklum Ali adalah dalam kalangan sahabat yang besar di sisi Rasulullah, kemungkinan untuk beliau menipu adalah mustahil! Namun, disebabkan Ali mendatangkan saksi yang terdiri daripada anak kandungnya sendiri, maka hakim ketika itu melihat ianya terdapat conflict of interest yang seterusnya membawa kepada keputusan untuk menolak kesaksian mereka, sekaligus memberi kemenangan kepada pihak tertuduh. Daripada sini kita boleh simpulkan, Ali bukanlah kalah dari sudut substance-nya, tetapi kalah dari sudut procedural dan adjectival law. Ini kerana, di akhir kisah ini, orang Yahudi tersebut mengaku salah di luar mahkamah, lalu memeluk Islam disebabkan kekagumannya terhadap prinsip dan sikap Ali serta keindahan sistem keadilan Islam yang merentasi sempadan agama dan bangsa.

Begitulah juga dengan dalam kes hudud. Kita tidak berkhilaf mengenai intipati hudud itu sendiri, walaupun sarjana Islam mempunyai pandangan yang berbeza tentang keseluruhan kandungan fekah hudud tersebut. Bahkan, artikel kali ini juga tidak mahu memanjangkan perbincangan hudud dalam konteks fiqh awlawiyyat kerana ianya pastinya akan dimanipulasi golongan anti-liberal yang paranoid.

Namun apa yang menjadi perselisihan utama kita adalah pada bagaimana cara yang sepatutnya kita guna untuk memartabatkan hudud ini. Letak tepi dahulu sudut substance, dan cuba fahami sudut procedurenya terlebih dahulu.

Bagi memahami sudut ini, kita perlu menguasai dua ilmu yang terkait, iaitu kajian constitutionalism (perlembagaan) dan sistem pemerintahan. Kedua-dua disiplin ilmu ini datang daripada fakulti pemikiran sains politik dan perundangan. Dalam kajian corak pentadbiran negara, terdapat dua sistem utama yang menjadi kegunaan negara-negara di dunia sekarang. Pertama disebut sebagai federal system, kedua disebut sebagai unitary system. Malaysia adalah negara yang menggunakan sistem federal di mana kita mempunyai kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Ini sekaligus memberikan impak kepada halatuju perlaksanaan hudud.

Kesannya adalah pada perlembagaan kita. Dalam perlembagaan Malaysia, selain daripada ‘perkara-perkara’ yang sefungsi dengan seksyen-seksyen dalam enakmen undang-undang, juga terdapat jadual-jadual yang menerangkan fungsi serta hak kuasa institusi-institusi tertentu. Dalam memahami sempadan kuasa kerajaan pusat dan negeri, maka jadual kesembilan merupakan rujukan utama kita. Dalam jadual kesembilan ini, terdapat tiga jenis senarai yang digariskan Perlembagaan Persekutuan. Senarai pertama dikenali sebagai senarai persekutuan, senarai kedua dikenali sebagai senarai negeri, manakala senarai ketiga merupakan senarai bersama yang menggabungkan tanggungjawab kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Baik, sekarang persoalan yang timbul adalah, di manakah kedudukan hudud? Hudud adalah pecahan kecil dalam undang-undang syari’ah yang terbahagi kepada empat komponen iaitu ta’zir, qisas, diyat, dan hudud. Hudud dalam undang-undang Islam berada pada aras supreme law kerana keasalahan-kesalahan hudud membabitkan jenayah berat.

Bukan itu sahaja, ruang ijtihad dalam hudud juga sangat terhad dibandingkan dengan komponen kecil yang lain. Kerana ianya terikat ketat dengan kententuan tuhan, maka ia dilihat sebagai undang-undang tertinggi malah pembeza antara undang-undang syari’ah dengan undang-undang sivil dalam bidang jenayah.

Hudud dalam pemakaian undang-undang syari’ah semasa pula sebenarnya sudah wujud. Sebahagian kesalahan hudud seperti zina pun disenaraikan dalam Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah. Manakala sebahagian yang lain seperti bunuh balas dalam qisas, tidak dapat dilaksanakan kerana bertembung dengan Kanun Keseksaan yang bernaung dibawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Kini yang menjadi masalah adalah, walaupun kesalahan hudud wujud dalam pemakaian undang-undang semasa, namun ianya berada pada aras ta’zir kerana terikat dengan had maksimum hukuman 3 tahun penjara, denda 5 ribu ringgit, dan 6 kali rotan, seperti yang termaktub di dalam Akta Mahkamah-mahkamah Islam (Bidangkuasa Jenayah) 1965 pindaaan 1984. Sedangkan hukuman sebenar keasalahan hudud bukanlah serendah itu. Memang benar dalam kerangka perlaksanaan undang-undang syari’ah, pembuktian yang lemah boleh menjatuhkan status kes daripada hudud kepada ta’zir. Namun bidangkuasa mahkamah yang terhad ini menjadikan hakim-hakim syari’ah di Malaysia dalam keadaan serba salah untuk menjatuhkan hukuman, kerana tiada pilihan lain selain hukuman ta’zir sahaja.

Manakala hudud dalam perlembagaan Malaysia berada dalam senarai negeri sahaja. Hal ini banyak terkesan dari sudut sejarah yang menjadikan hal-ehwal agama dan adat resam ditadbir sultan negeri masing-masing. Disebabkan itu, perjalanan hudud sangat jauh jika dibandingkan dengan sistem Islam yang lain dalam industri kewangan, industri halal, industri pendidikan Islam, bahkan haji. Yang demikian itu jelas disebut dalam senarai dua – senarai negeri, kewangan, halal, pendidikan serta hal-ehwal haji berada dalam bidangkuasa pusat, manakala hudud berada di bawah bidang kuasa negeri. Tidak hairanlah, kita lihat institusi kewangan Islam bergerak lebih pantas berbanding dengan perkembangan mahkamah syari’ah, kerana ianya diusahakan di peringkat pusat secara langsung.

Memahami situasi dan kedudukan ini, pejuang-pejuang syari’ah melihat hudud boleh diusahakan melalui dua jalan, luaran dan dalaman. Bagi ‘jalan dalam’, sebuah jawatankuasa pemandu ditubuhkan bagi memberi saranan kepada kerajaan agar memartabatkan syari’ah secara berperingkat. Usaha-usaha ini, di peringkat pusat, memberi kesan terhadap pindaan perlembagaan, serta penubuhan Jabatan Kehakiman Syari’ah Malaysia (JKSM) bagi memantau, menkaji serta memberi sokongan terhadap perjalanan undang-undang syari’ah di seluruh negeri. Beberapa pelan tindakan selanjutnya dirangka bagi memperkasakan instrumen-instrumen sokongan yang lain sebelum menuju ke arah perlaksanaan hudud. Manakala bagi ‘jalan luar’ pula, desakan politik daripada parti pembangkang amat diperlukan agar parti yang memerintah tersepit dengan kata dua yang diberikan parti pembangkang.

PAS yang sudah sekian lama memperjuangkan hudud, melaksanakan beberapa usaha dan tindakan bagi mencapai matlamat tersebut. Dari perangkaan enakmen hudud, hinggalah pindaan demi pindaan bagi tujuan penambah-baikan di bawa beberapa kali ke persidangan peringkat negeri dan pusat. Walau bagaimanapun, isu yang timbul adalah, mengapa hudud seringkali menjadi hangat apabila Barisan Nasional sedang lemah? Kita sedia maklum, PAS amat jelas dengan prinsip tahaluf siyasinya iaitu, mereka akan kekal dalam proksi pembakang jika memberi manfaat kepada perjuangan parti, manakala akan cenderung kepada proksi kerajaan apabila memberi manfaat kepada pejuangan parti. Hudud, menjadi perjuangan utama PAS.

Apa yang berlaku baru-baru ini adalah, UMNO menunjukkan minat untuk melaksanakan hudud. Dalam masa yang sama, DAP pula lantang menentang hudud. Situasi inimenyebabkan PAS mengambil tindakan drastik atas dasar berpegang teguh dengan prinsip tahaluf siyasi itu tadi. Sebahagian penganalisis politik memandang hudud sebagai umpan yang berkesan dalam memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Hal ini berasaskan permainan sentimen hudud yang seringkali berulang setiap kali Barisan Nasional berada dalam keadaan yang lemah. Dirisaukan, UMNO sengaja bermain tarik umpan dan akan terus menyimpan isu hudud sebagai senjata akhir memecah-belahkan PR. Sekaligus, ini meninggalkan persepsi buruk rakan-rakan Pakatan PAS sebenarnya adalah sebuah liabiliti yang menyusahkan PR.

Kerana itu, sebahagian sarjana Islam meletakkan hudud sebagai agenda terakhir dalam perlaksanaan syari’ah di dalam sesebuah negara. Terdapat banyak lagi instrumen-instumen sokongan lain yang perlu diperkukuhkan menjelang perlaksanaan hudud. Hasilnya, gerakan Islam yang mengambil pandangan ini dalam pendekatan politik mereka berjaya menguasai tampuk pemerintahan pusat. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam perjuangan AKP di Turki. Melihat keadaan ini, beberapa pemimpin PAS dari aliran progresif meletakkan keutamaan untuk PAS menguasai kerajaan pusat terlebih dahulu bagi merealisasikan hudud.

Jadi, di mana kita, dan di mana pula PAS? Kita semua adalah pencinta syari’ah. Namun, adakah cinta kitasudah cukup celik ilmu? Beringatlah, cinta buta, tak mampu membawa kita kemana-mana.– 23 Julai, 2015.

-Syahir Nujaba

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hudud-yang-selama-ini-memecah-belahkan-kita-syahir-nujaba#sthash.2PFNTU1C.dpuf


EmoticonEmoticon