jobs from my.neuvoo.com

29 Julai, 2015

Malu kerana berdosa dengan isteri dan anak

Sekadar hiasan
DALAM kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri, semua orang pasti bergembira dengan layanan baik daripada isteri, suami dan anak-anak. Ada juga yang menitiskan air mata tanpa isteri dan anak-anak, hanya kerana satu ketika mereka pernah membuat silap.

Lumrah dunia setiap orang membuat silap. Seperti juga pantai, manusia juga akan berubah apabila tiba waktunya. Mereka juga berhak diberi peluang kedua untuk membaiki diri.

Inilah mukadimah yang ingin saya kongsikan minggu ini, hasil pertemuan saya dengan seorang pak cik ketika mengikuti program bersahur dengan gelandangan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini kisah benar yang diceritakan sendiri oleh empunya diri, seorang lelaki berusia awal 60-an yang hanya mahu dikenali sebagai pak cik Mad.

Pertemuan hampir sejam itu mencungkil banyak cerita tentang lelaki ini yang kini telah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan serta membina hidup baru bersama isteri dan anak-anak tetapi dia malu kerana pernah tersilap.

Ingin tahu kisah lanjut, kita ikuti cerita pak cik Mad.

“Pak cik berasal dari selatan tanah air, mempunyai seorang isteri dan empat orang anak. Anak-anak semua berjaya dalam pelajaran.

“Pak cik yang tidak sedar diri. Terpengaruh dengan kawan-kawan sehingga terjerat dengan dadah sejak berusia 25 tahun. Ingatkan apabila berkahwin, pak cik akan berubah..., tetapi tidak.

“Isteri pak cik, seorang wanita yang sabar dengan kerenah dan perangai pak cik. Walaupun dia tahu pak cik menagih, dia tetap layan pak cik dengan baik.
“Ketika itu, pak cik asyik keluar masuk pusat pemulihan dan penjara, semuanya kerana dadah. Sehingga kini, 20 tahun telah berlalu. Sepanjang tempoh itu, banyak yang berlaku dalam hidup pak cik.

“Kali terakhir pak cik jumpa isteri dan anak-anak pada 2007. Itupun secara kebetulan pak cik balik kampung dengan harapan untuk meminta maaf dan membina hidup baru bersama mereka.

“Akan tetapi apabila mendengar yang anak-anak semua berjaya masuk universiti dan mendapat pekerjaan yang baik, pak cik merasa sangat malu.

“Dua orang anak pak cik menjadi doktor dan dua orang kerja dengan kedutaan. Isteri pak cik masih sihat dan dia masih tinggal di rumah lama kami di kampung.
“Pak cik kini sudah insaf dan ingin kembali ke pangkuan mereka, tetapi pak cik malu. Anak-anak pernah mencari dan membawa pak cik pulang tetapi pak cik tidak selesa tinggal bersama mereka kerana malu dengan menantu dan masyarakat keliling.

“Dua hari sahaja pak cik di rumah, kemudian pak cik lari kerana tidak sanggup berdepan dengan mereka mengenangkan dosa-dosa yang pernah pak cik lakukan.
“Anak-anak meminta pak cik jangan fikirkan apa orang kata. Mereka mahu mengubat pak cik dan membimbing pak cik beribadah. Pak cik memang teringin sangat nak kembali ke jalan Allah tetapi pak cik malu.

“Sebab itu, pak cik datang ke sini. Walaupun tidak selesa tetapi pak cik ada ramai kawan. Cukuplah makan minum yang ada bila pak cik buat kerja. Tambahan pula pak cik dapat bantuan zakat dan buat kerja sambilan.

“Pak cik sangat menyesal dengan apa yang pak cik lakukan di masa lalu. Ia telah menghancurkan masa depan pak cik. Tapi pak cik reda kerana kesilapan itu dan sanggup menerima apa sahaja hukuman daripada isteri dan anak-anak.

“Tambahan pula pak cik mendapat khabar yang anak-anak pak cik semuanya berjaya dalam hidup. Pak cik tidak mahu mereka malu mempunyai ayah seperti pak cik.
“Pak cik menangis gembira mendengar khabar ini tetapi tidak berdaya untuk menemui mereka kerana malu. Pak cik tahu anak-anak mencari pak cik, tetapi setakat ini pak cik belum bersedia untuk berjumpa mereka.

“Pak cik bersalah kerana melupakan tanggungjawab pak cik dulu. Pak cik ingin bertaubat atas apa yang telah berlaku. Pak cik terima balasan Allah ke atas pak cik dengan reda.

“Tetapi sebelum pejam mata, pak cik berdoa semoga Allah berikan pak cik kekuatan untuk berjumpa isteri, anak-anak dan cucu-cucu, meminta ampun daripada mereka semua dan melahirkan rasa kesal dengan perbuatan masa lalu pak cik.

“Pak cik harap mereka terbaca cerita pak cik di ruangan ini dan memahami kehendak hati pak cik. Insya-Allah sampai masa pak cik akan kembali berjumpa mereka,’’ kata pak cik Mad menutup ceritanya sambil menghabiskan nasi bungkus sahurnya pada subuh itu dengan tenang. Di sisinya sebuah beg hitam berisi pakaian dan dokumen keperluannya yang dijadikan teman setianya ke mana sahaja.

Saya terkedu, sedih dan sayu dengan cerita dunia yang saya saksikan sendiri di depan mata. Jika sebelum ini, saya hanya menonton drama di kaca televisyen tetapi kisah pak cik Mad adalah realiti hidup yang berlaku di depan mata.

Saya tidak dapat berkata lebih lanjut kerana terlalu sedih dan simpati terhadap pak cik Mad. Saya harap anak-anaknya akan mencarinya semula untuk membawanya pulang dan memulakan hidup baru bersama mereka.

Kepada pak cik Mad saya katakan, Allah akan beri petunjuk dan buka pintu hatinya untuk kembali bersama isteri dan anak-anaknya. Mungkin hari raya kali ini yang terbaik untuk pak cik Mad balik berjumpa mereka.

Saya yakin isteri dan anak-anak pak cik Mad menunggu kepulangan. Baliklah pak cik Mad! Semoga pak cik Mad sentiasa di dalam rahmat Allah dan hari raya kali ini membawa sejuta makna dalam hidup pak cik Mad.

Ketika saya tinggalkan pak cik Mad, azan Subuh sayu berkumandang. Saya melihat wajahnya yang sayu memandang saya dan berkata, “terima kasih nak, nanti datang lagi ya.!” Saya menyapu air mata yang mengalir.

Menutup catatan, pesanan telus saya, apabila kita berhenti mengenangkan masa silam dan saling memberi dan menerima maaf, pasti ada bahagia di penghujungnya.

Salam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/malu-kerana-berdosa-dengan-isteri-dan-anak-1.116582#sthash.MASwtAha.dpuf


EmoticonEmoticon