jobs from my.neuvoo.com

15 Julai, 2015

Mokhzani didakwa miliki 18 kereta bernilai lebih RM36 juta

KUALA LUMPUR: Anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Mokhzani didakwa memiliki kekayaan luar biasa dalam tempoh singkat sehingga mampu memiliki koleksi kereta bernilai RM36.2 juta.

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Mokhzani, anak kedua Dr Mahathir, memiliki 18 koleksi kereta pelbagai jenama.

Sehubungan itu, katanya, Dr Mahathir juga perlu tampil menjelaskan sumber yang diperolehi anaknya itu yang dilihat di luar kemampuan sebenar.

“Dr Mahathir perlu tampil memperjelas tentang dana modal anaknya. Malah, Mokhzani juga perlu tampil menjelaskan segera,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Katanya, pendedahan yang dibuat hari ini hanyalah melibatkan harga kereta yang dimiliki Mohkzani tidak termasuk termasuk rumah dan aset lain.

“Saya belum dedahkan lagi kekayaan anak-anak Dr Mahathir yang lain termasuk Mukhriz,” katanya.

Katanya, Dr Mahathir lantang mengkritik kelemahan orang lain sedangkan anak sendiri tidak diperlaku sedemikian.

“Sebelum ini beliau pernah berkata, saya (Dr Mahathir) tidak ada duit tapi apakah kekayaan anaknya ini menunjukkan keluarganya tidak berduit?.

“Dr Mahathir sentiasa menuduh dan bercakap keburukan orang lain tetapi beliau sendiri mempunyai masalah tersendiri. Lupa nak tegur keluarga sendiri,” katanya.

Pada masa sama , Azwanddin mencabar Mokhzani dan Dr Mahathir untuk menyaman beliau sekiranya pendedahan yang dibuat tidak benar.

“Jika pendedahan ini tidak benar saya silakan untuk saman saya secara terbuka dan saya yakin beliau tidak berani saman saya sebab saya ada bukti jelas,” katanya.

Katanya, JMM meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak polis untuk menyiasat hasil kekayaan luar biasa dalam tempoh yang singkat anak bekas Perdana Menteri itu.


EmoticonEmoticon